Amanah bimbang, pandang berat isu amalan khurafat di Kedah
ALOR SETAR – Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah melahirkan rasa bimbang dan memandang berat isu amalan khurafat yang dipercayai berlaku di negeri ini.
Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, laporan berkaitan amalan pemujaan tempat yang dianggap keramat di Gunung Jerai dan kenyataan seorang guru agama bahawa roh seseorang yang mati boleh memasuki tubuh orang lain menunjukkan amalan serta fahaman khurafat masih dipegang oleh sesetengah orang di Kedah.
Justeru, Phahrorazi menggesa supaya amalan khurafat terbabit dibanteras segera dan tindakan tegas diambil pihak berkuasa demi akidah umat Islam.
“Amalan dan fahaman ini dikhuatiri berkembang menjadi barah yang sukar dibendung sekiranya tiada tindakan segera dan tegas diambil oleh pihak berkuasa.
“Kerana ia melibatkan individu tertentu yang bergelar tuan guru ataupun ustaz yang ada pengaruh dan pengikut-pengikut yang taksub,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, Amanah Kedah memandang berat isu tersebut dan mengajak semua pihak sama ada agamawan, pemimpin masyarakat serta pemimpin politik bersama-sama membanteras isu khurafat.
"Menjadi harapan semua agar umat Islam tidak ditambah lagi bebanan isu khurafat yang menjejaskan aqidah, yang akhirnya memporak peranda kehidupan mereka di dunia dan akhirat.
“Umat Islam ketika ini sudah sarat menghadapi pelbagai isu politik, ekonomi, mazhab, peperangan sesama sendiri dan lain-lain yang merencat keutuhan umat,” katanya.
Pada Ahad lepas, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (JHEAIK) dilaporkan menyiasat satu ritual amalan khurafat dipercayai dilakukan di atas Gunung Jerai yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Pengarah JHEAIK, Datuk Mohd Yusri Md Daud, berkata, pihaknya menerima aduan itu daripada orang ramai mengenai video tular durasi satu minit di laman sosial.
Katanya, JHEAIK amat memandang berat dan sedang menyiasat aduan tersebut mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014 atas kesalahan doktrin palsu dan menghina atau menyebabkan dipandang hina agama Islam.
Ia susulan video tular yang menunjukkan beberapa amalan di Gunung Jerai, Kedah menarik perhatian ramai hingga menimbulkan persoalan dalam kalangan netizen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!