Peka peraturan buruh paksa CBP elak sekatan ke AS

Zuraida
Zuraida
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peserta industri yang berintensif buruh perlu lebih peka dengan peraturan buruh paksa Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat dan mencari pelan tindakan supaya tidak dikenakan Perintah Penahanan Pelepasan (WRO).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, KPPK tidak berniat untuk mempertikai hak prerogatif CBP, tetapi berpendapat dakwaan ini adalah tidak adil dan berat sebelah.

"’Walaupun kita tidak sepenuhnya bersetuju dengan tindakan CBP, namun agensi penguatkuasaan berkenaan mempunyai hak prerogatif untuk mengambil tindakan berdasarkan apa yang pada ketika itu dianggap sebagai maklumat yang mereka peroleh.

"Sekatan kemasukan minyak sawit dan produk minyak sawit Malaysia (dan selepas itu, sarung tangan getah) hanya berdasarkan tuduhan buruh paksa yang dibuat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan-kumpulan lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Agensi penguatkuasaan CBP AS pada 2 Jun lepas menjelaskan bagaimana mereka memperoleh bukti dakwaan buruh paksa serta prosedur siasatan yang telah dilakukan dan ini menyebabkan produk daripada enam firma Malaysia masih dilarang memasuki pasaran negara itu akibat perintah WRO.

Zuraida berkata, berdasarkan keadaan ini dan selepas CBP menjelaskan bagaimana keputusan larangan ini diambil, pemain industri Malaysia terutama dalam sektor perladangan dan sarung getah yang berintensif buruh perlu mengambil kira sensitiviti CBP.

Justeru, beliau menambah pemain industri perlu mencari pelan tindakan supaya tidak dikenakan WRO sekali lagi dengan tuduhan buruh paksa.

"Sehubungan ini, KPPK menghargai usaha Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (Margma) untuk bekerjasama dengan CBP dalam isu tadbir urus isu buruh asing dan tempatan,” katanya.

Difahamkan bahawa Margma telah menerajui usaha sedemikian sejak 2018 apabila ia mendukung dasar hutang sifar dan turut memulakan tindakan pemulihan yang perlu diambil oleh setiap ahli untuk memisahkan mereka daripada stigma buruh paksa, menggunakan 11 petunjuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Selain itu, Margma juga telah membentuk Unit ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) dan satu pasukan petugas untuk mendidik dan menyedarkan ahli-ahli persatuan itu dan pekerja mereka mengenai 11 petunjuk ILO mengenai buruh paksa.

"Usaha giat ini dilakukan melalui kerjasama dengan ILO dan kedutaan/suruhanjaya tinggi AS, UK dan Kesatuan Eropah (EU) di Malaysia,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!