Mungkin wujud 'tangan ghaib' arah serang MB Kedah: Pemuda Pas

Pemuda Pas Kedah sifatkan kenyataan Ketua Pemuda UMNO Alor Setar sebagai kurang bertanggungjawab dan tidak cermat. Gambar kecil: Adnan
Pemuda Pas Kedah sifatkan kenyataan Ketua Pemuda UMNO Alor Setar sebagai kurang bertanggungjawab dan tidak cermat. Gambar kecil: Adnan
A
A
A

ALOR SETAR - Pemuda Pas Kedah tidak menolak kemungkinan wujud ‘tangan ghaib’ mengarah Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia membuat serangan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor melalui naratif ‘Menteri Besar pintu belakang’.

Ketua Penerangan Pemuda Pas Kedah, Adnan Yusof berkata, pihaknya tertanya-tanya sama ada tuduhan dilemparkan secara tidak langsung akan mendorong Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen.

Menurutnya, pandangan ini susulan kenyataan dikeluarkan Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri pada Sabtu lepas yang meminta Muhammad Sanusi agar tidak terlalu selesa menjadi 'Menteri Besar Kedah pintu belakang'.

“Mewakili Pemuda Pas Kedah yang matang, kenyataan Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia ini adalah kenyataan kurang bertanggungjawab dan tidak cermat.

"Membaca tajuk berita tanpa merujuk konteks kenyataan bersama media tersebut membuatkan Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia ini terperangkap dengan kenyataan balasnya.

“Mungkin kerana jawapan keyakinan Menteri Besar Kedah selaku Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kedah, menyebabkan beliau selaku Ketua Pemuda UMNO Alor Setar ini kurang senang dan tidak sabar-sabar untuk dicalonkan dalam PRU akan datang,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau menegaskan, Pemuda Pas Kedah konsisten bersama Pas Kedah pimpinan Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya menyokong usaha membantu kerajaan negeri pimpinan Muhammad Sanusi dalam memastikan pemulihan negara pasca pandemik Covid-19.

Tambah beliau, perkara ini jelas terbukti dengan kejayaan pelaburan tertinggi dalam sejarah negeri Kedah sebanyak RM68.3 bilion seperti yang diumumkan sebelum ini.

Adnan berkata, tiada istilah 'kerusi empuk' jika pasukan Menteri Besar Kedah ketika ini saban hari bekerja untuk rakyat dan terus membela rakyat.

“Namun yang dikesali, kita boleh bertanya pada 'empunya diri' yang sebelum ini dilihat gagal dalam memberikan yang terbaik ketika bersama dalam pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.

Pada Sabtu lepas, Syed Mohd Johan Rizal mengingatkan Muhammad Sanusi agar tidak terlalu selesa dengan jawatan disandangnya itu memandangkan ia diperoleh melalui ‘pintu belakang’ bukannya melalui mandat rakyat.

Beliau berasakan selaku pemimpin politik yang bertanggungjawab, Muhammad Sanusi seharusnya sedar bahawa demokrasi wajar dikembalikan kepada rakyat setelah dikhianati Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Bagaimanapun, kenyataan itu ditempelak setiausaha politik kepada Menteri Besar Kedah, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang menyifatkan tuduhan dilemparkan itu amat melucukan dan melencong jauh dari konteks sebenar.

Beliau juga mempersoal sama ada naratif 'pintu belakang' dan 'kerusi selesa' terbabit turut ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob termasuk Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad susulan kedua-duanya juga dilantik berikutan tumbangnya sebuah kerajaan dan bukan menang atas tiket PRU14.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!