Benam Lithuania 6-0, kejayaan membanggakan
KEJAYAAN membenam Lithuania 6-0, pada Rabu dilihat sebagai satu pencapaian yang cukup membanggakan bagi skuad Turki pada saingan Liga Negara-Negara UEFA kali ini.
Menurut pengendali Turki, Stefan Kuntz, biarpun beraksi dalam saingan Liga C, namun kesebelasan pemain Turki dilihat masih berjaya mempamerkan aksi mantap bagi menghasilkan kemenangan berkenaan.
“Kami cukup gembira dengan keputusan (kemenangan) ini. Kini kami mendahului Kumpulan 1 dalam saingan Liga C.
“Oleh itu, diharapkan kesemua pemain dapat mengekalkan prestasi bagi memastikan kemenangan pada perlawanan-perlawanan akan datang,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan, gol-gol Turki dijaringkan Dogukan Sinik pada minit ke-2 dan min-14, Serdar Dursun (min-56, min-81), Yunus Akgun min-89 dan Halil Dervisoglu pada minit ke-90.
Kemenangan itu memastikan Turki selesa menerajui Kumpulan 1 dalam saingan Liga C dengan enam mata hasil dua kemenangan berturut-turut setakat ini.
Mengulas lanjut, Kuntz berkata, kemenangan berkenaan membuatkannya yakin Turki bakal kembali beraksi dalam saingan Liga B tahun depan.
Justeru katanya, kesebelasan pemain hanya perlu konsisten bagi mencatatkan kemenangan selepas ini dan meraih sebanyak mungkin mata bagi merealisasikan perkara berkenaan.
“Kita telah tersingkir dari saingan Liga B dan kini kita dalam ‘pendakian’ semula untuk ke saingan liga berkenaan.
“Oleh itu, prestasi baik yang dipamerkan pemain perlu diteruskan dalam usaha kita untuk kembali menyertai saingan liga tersebut (Liga B dan Liga A),” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!