'Belanja PRU bukan murah'
IPOH - Pilihan Raya Umum (PRU) bukan satu pilihan sesuai memandangkan rakyat sedang bergelut dengan masalah ketidaktentuan ekonomi dan harga barang yang tinggi ketika ini.
Pengarah Pilihan Raya Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Asmuni Awi berkata, keadaan telah membuktikan bahawa keadaan ekonomi negara tidak berapa baik pada masa ini sedangkan kos mengadakan satu-satu pilihan raya adalah besar.
Menurutnya, di peringkat kerajaan, kos PRU itu akan menjadi satu bebanan sedangkan peruntukan berkenaan boleh digunakan bagi memulihkan ekonomi demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.
"Belanja PRU bukannya murah, kita tahu PRN (pilihan raya negeri) Johor sahaja sebanyak RM350 juta dibelanjakan, kalau buat PRU sekarang, mahu cecah hingga RM1.2 bilion.
"Kalau jumlah itu digunakan sebaiknya untuk keperluan rakyat, saya kira ada banyak benda yang boleh kita selesaikan bagi membantu kurangkan beban rakyat," katanya pada sidang akhbar selepas meninjau masalah jambatan kerosakan Jambatan Sungai Pari di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Chepor di sini pada Rabu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi itu berkata, desakan untuk mengadakan dan mempercepatkan PRU sebelum ini bukan daripada pembangkang, sebaliknya kepimpinan kerajaan sendiri yang bergelumang dengan konflik dalaman parti.
Katanya, keadaan itu tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk kerajaan terus menekan dan membebankan rakyat dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya.
"Kestabilan ekonomi itu lebih mustahak, bukan pilihan raya. Keutamaannya sekarang adalah bagaimana kerajaan harus mengatasi segala masalah yang dihadapi rakyat, bukan beri cadangan-cadangan yang menjadi buah mulut netizen.
"Lagipun tempoh PRU ini lama lagi, ikutkan kita ada sampai Mei depan, jadi habiskan 'term' dulu pun tidak mengapa. Kalau kerja tidak selesai lagi, selesaikanlah dahulu," katanya.
Beliau berkata, secara keseluruhan jentera Amanah telah bersiap sedia sekiranya kerajaan tetap memutuskan mahu mengadakan PRU dalam masa terdekat ini.
Jelasnya, tidak hanya sekadar mesyuarat dan lawatan, Amanah turut mengadakan pelancaran jentera dan konvensyen PRU di peringkat negeri-negeri.
"Arahan untuk bersedia tu dah lama kita buat, cuma ada tahap satu, dua dan tiga. Sekarang ini kita dah pun sampai ke tahap tiga," katanya.
Dalam perkembangan lain, Asmuni berkata, kerosakan di Jambatan Sungai Pari telah berlarutan sejak 2014 lagi dan permohonan untuk membaik pulih kemudahan itu telah dikemukakan kepada kerajaan negeri pada 2019.
Katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah diminta untuk membantu mereka bentuk dan menilai kos bagi jambatan tersebut yang dianggarkan sebanyak RM1.5 juta.
"Jambatan ini bukan hanya digunakan penduduk, tetapi kenderaan berat juga yang membawa muatan sawit dan getah.
"Jadi kita mohon kerajaan percepatkan proses kelulusan projek baik pulih jambatan ini bagi menjamin keselamatan penduduk," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!