Seorang maut, 15 lain cedera nahas dua MPV

Keadaan MPV yang terlibat dalam nahas di Batu 4 Jalan Tapah - Cameron Highlands, hari ini.
Keadaan MPV yang terlibat dalam nahas di Batu 4 Jalan Tapah - Cameron Highlands, hari ini.
A
A
A

TAPAH - Seorang maut sementara 15 yang lain mengalami kecederaan termasuk parah dalam nahas dua kenderaan pelbagai guna (MPV) di Batu 4 Jalan Tapah - Cameron Highlands, hari ini.

Kejadian sekitar jam 12 tengah hari itu membabitkan MPV jenis Perodua Alza dinaiki sembilan sekeluarga serta sebuah lagi jenis Honda Stream membawa tujuh sekeluarga.

Mohd Ayup Ab Rahman, 55, beralamat dari Kota Bharu, Kelantan yang memandu MPV jenis Perodua Alza disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di unit kecemasan Hospital Tapah.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, tiga daripada enam anak mangsa yang menaiki kenderaan itu bersama ibu mentuanya berusia 75 tahun dilaporkan parah.

"Tiga anak lelaki mangsa berusia 13, 18 dan 20 tahun, masing-masing mengalami patah tulang rusuk, patah kaki kanan dan tangan kiri manakala ibu mentuanya cedera di kepala dan kaki.

"Bagaimanapun, isteri mangsa bersama tiga lagi anak hanya alami luka ringan," katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, kesemua mangsa dalam perjalanan ke arah Cameron Highlands.

"Tiba di tempat kejadian, kenderaan dipandu mangsa telah dilanggar sebuah MPV Honda Stream yang datang dari arah bertentangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pemandu MPV terbabit berusia 52 tahun mengalami patah paha kiri, sementara anak perempuan berusia 22 tahun yang duduk di bahagian penumpang belakang patah kaki kanan.

Katanya, isteri mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Tiga lagi anak mangsa bersama seorang anak saudara berusia empat tahun pula mengalami cedera ringan," katanya.

Wan Azharuddin berkata, semua yang cedera telah dihantar ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, kenderaan terlibat dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!