Majikan beri alasan tidak tahu wajib carum Perkeso
SEREMBAN - 'Tidak tahu wajib mencarum'. Itu alasan tidak munasabah yang biasa diberikan oleh kebanyakan majikan yang dikesan tidak membuat caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada pekerja mereka.
Pengarah Perkeso Negeri Sembilan, Fuad Alias berkata, kesalahan itu didapati banyak dilakukan oleh majikan yang menjalankan perniagaan kedai kedai runcit dan kedai makan.
"Mereka yang menjalankan perniagaan ini biasanya hanya tahu mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), namun keperluan akta lain tidak diberi perhatian.
"Bila kita tanya kenapa tak mencarum, alasannya tidak tahu dan ada juga beritahu baharu memulakan perniagaan dan mengambil pekerja," katanya pada sidang akhbar selepas Ops Kesan Peringkat Negeri Sembilan di sini pada Rabu.
Menurutnya, semua majikan yang mengambil pekerja termasuk warga asing wajib mendaftar dengan Perkeso dalam masa 30 hari daripada tarikh pekerja tersebut diambil bekerja.
Jelasnya, jika gagal buat demikian boleh dikenakan kompaun di bawah seksyen 95A di bawah Akta yang sama sebanyak RM5,000 atau terus didakwa di Mahkamah.
Sementara itu katanya, sehingga Disember tahun lalu, sebanyak 38,985 majikan aktif mendaftar di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dengan seramai 250,465 pekerja mendapat perlindungan Perkeso.
"Kesedaran bukan saja daripada majikan tetapi pekerja juga perlu tahu apa kepentingan mereka sebagai pekerja, bukan sekadar tahu setiap bulan mereka dibayar gaji.
"Caruman Perkeso ini penting sebagai perlindungan kepada setiap pekerja jika berlaku insiden kemalangan. Jadi pekerja kedai runcit ke atau yang kedai cuci kereta ke wajib mencarum," katanya.
Sementara itu katanya, operasi pengesanan juga dibuat pertama kali di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Akta 789) bagi Sektor Pengangkutan Penumpang (E-Hailing) dan Sektor Pengangkutan Barangan dan Makanan (P-Hailing).
Jelasnya, kegagalan majikan untuk mendaftar di bawah kedua-dua akta itu atau individu yang terlibat dalam sektor berkenaan boleh dijatuhkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekiranya sabit kesalahan.
"Sebelum Ops Kesan ini dilaksanakan, Perkeso telah pun memberikan tempoh pemutihan sepanjang bulan Mei ini dengan membuka peluang kepada semua majikan yang layak tetapi masih belum berdaftar supaya berbuat demikian secara sukarela sebelum 1 Jun lalu.
"Majikan yang mendaftar sebelum tarikh tersebut tidak akan dikenakan tindakan kompaun dan pendakwaan walaupun telah melebihi tempoh yang ditetapkan serta akan dikecualikan daripada Faedah Caruman Lewat Bayar yang bakal dikenakan," katanya.
Fuad berkata, dalam tempoh pemutihan tahun ini sebanyak 224 majikan baharu telah tampil mendaftar.
Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan yang positif berbanding bilangan majikan mendaftar bulan April lalu iaitu sebanyak 173 majikan.
"Selain itu di bawah Akta 789 sebanyak 5,867 orang bekerja sendiri telah berdaftar di bawah Sektor Pengangkutan Penumpang (e-hailing) dan Sektor Pengangkutan Barangan dan Makanan (p-hailing) sehingga Disember 2021.
"Pada bulan lalu, sebanyak 976 orang bekerja sendiri mendaftar berbanding April iaitu 729 orang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!