Dapur, stor rumah runtuh akibat hakisan sungai

Azhar (kiri) menceritakan detik cemas kepada Wan Romaini (dua kiri) aoabila sebahagian rumahnya yang runtuh masuk ke dalam Sungai Padang Terap di Kepala Batas dalam kejadian pagi Isnin lalu.
Azhar (kiri) menceritakan detik cemas kepada Wan Romaini (dua kiri) aoabila sebahagian rumahnya yang runtuh masuk ke dalam Sungai Padang Terap di Kepala Batas dalam kejadian pagi Isnin lalu.
A
A
A

ALOR SETAR - Empat sekeluarga mengalami detik cemas apabila sebahagian dapur dan stor rumah mereka runtuh akibat hakisan Sungai Padang Terap di Kampung Seri Pasir, Kepala Batas dekat sini pada pagi Isnin.

Azhar Ahmad, 55, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi itu mengejutkan mereka yang sedang tidur di bilik masing-masing.

"Semasa kejadian kami dengar seperti dinding rumah retak dan 15 minit selepas itu terdengar dentuman kuat seperti benda jatuh ke dalam sungai.

"Kami bangun dan melihat sebahagian dapur serta stor simpanan barangan perniagaan memasak telah runtuh dan jatuh ke dalam sungai," katanya ketika ditemui pemberita pada petang Selasa.

Mengulas lanjut, Azhar yang bekerja sebagai tukang masak berkata, semasa kejadian dia bersama isteri dan dua anaknya bersyukur kerana tiada kejadian tidak diingini berlaku terhadap mereka sekeluarga akibat kejadian hakisan sungai itu.

Jelasnya, mereka telah menyelam ke dalam sungai pada pagi Isnin untuk menyelamatkan sebahagian kelengkapan memasak dan juga barang-barang antik yang disimpan sebelum ini.

Azhar menunjukkan sebahagian dapur dan stor rumahnya yang runtuh dan jatuh ke Sungai Padang Terap di Kampung Seri Pasir, Kepala Batas dalam kejadian pagi Isnin lalu.
Azhar menunjukkan sebahagian dapur dan stor rumahnya yang runtuh dan jatuh ke Sungai Padang Terap di Kampung Seri Pasir, Kepala Batas dalam kejadian pagi Isnin lalu.

"Saya bersyukur kerana kami sekeluarga tidak mengalami kecederaan dan dapat selamatkan diri. Kejadian ini adalah paling buruk pernah dihadapi kami sekeluarga sejak 35 tahun menetap di sini.

"Jadi saya berharap kerajaan negeri Kedah dapat bantu kami untuk mendapatkan kediaman baharu dan segera berpindah ke tempat lebih selamat memandangkan ada sebahagian dinding rumah ketika sudah retak," ujarnya.

Nasib yang menimpa Azhar sekeluarga mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pinang, Wan Romaini Wan Salim yang turun padang melawat ke lokasi kejadian.

Menurutnya, masalah tersebut sudah pun berlarutan sejak sekian lama kerana rumah mangsa berada di kawasan rizab Sungai Padang Terap.

“Sebelum ini kerajaan negeri sudah pun membina tembok bagi mengelak berlakunya hakisan di kawasan itu namun hakisan sungai tetap berlaku.

"Kami akan berusaha membantu keluarga ini mendapatkan kediaman baharu agar dapat tinggal dengan lebih selamat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!