Lelaki dijumpai lemas selepas dua hari hilang
GEORGETOWN - Setelah dua hari dikhuatiri hilang, seorang lelaki dijumpai lemas berdekatan Jambatan Abdul Halim Mu’adzam Shah di sini petang tadi.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, mangsa yang dikenali sebagai Hardyansyah merupakan warga Indonesia.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari orang awam mengenai seorang lelaki dipercayai lemas kira-kira jam 3.30 petang kelmarin.
"Selepas menerima panggilan tersebut, kita menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang didakwa lemas di Jambatan Kedua Pulau Pinang berhampiran susur keluar ke Batu Kawan.
"Setelah dua hari SAR dijalankan, mangsa yang berasal dari Acheh dan berusia 25 tahun itu berjaya ditemui pada jam 3.28 petang tadi. Mangsa dipercayai lemas ketik mandi bersama rakan-rakannya pada jam 2.30 petang kelmarin," katanya ketika dihubungi tadi.
Beliau berkata, keterangan dari rakan mangsa mendapati, mereka memasang pukat berdekatan muara Sungai Kluang sebelum mandi di kawasan terbabit.
"Ketika mereka sedang leka mandi, tanpa disedari mangsa telah hanyut ke arah Jambatan Kedua Pulau Pinang dan lemas. Mangsa tidak sempat diselamatkan oleh rakan-rakan lain kerana arus deras dan terus hanyut ke tengah laut.
"Operasi SAR turut melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Polis Marin dan Angkatan Pertahanan Malaysia. Mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dirujuk ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!