Konon dirompak, peniaga online mengaku salah buat laporan palsu

Muhammad Hadiq Hamdi (kiri) dikawal polis keluar dari lokap menuju ke bilik Mahkamah Majistret Kota Bharu pada Rabu.
Muhammad Hadiq Hamdi (kiri) dikawal polis keluar dari lokap menuju ke bilik Mahkamah Majistret Kota Bharu pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang peniaga dalam talian mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan membuat laporan polis palsu mendakwa dirompak di sebuah bank di Kubang Kerian di sini, Ahad lalu.

Tertuduh, Muhammad Hadiq Hamdi Mohd Suhaimi, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Pegawai Kanan Pendaftar, Tuan Ruzuaini Tuan Lah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membuat laporan polis palsu dengan mengatakan dia dirompak dua lelaki menaiki motosikal dengan pisau selepas mengeluarkan wang sebanyak RM6,000 di sebuah bank di Kubang Kerian di sini, pada 4 Jun lalu.

Kesalahan itu dilakukan Muhammad Hadiq Hamdi di Balai Polis Kubang Kerian di sini, pada jam 12.37 tengah hari pada 5 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Nazriani Ab Rahman.

Sharifah Amirda menawarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun Nik Nazriani dalam rayuan terhadap anak guamnya memohon jaminan yang rendah kerana tertuduh hanya bekerja sambilan menerusi perniagaan dalam talian dengan pendapatan yang tidak menentu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Julai depan untuk jatuh hukum.

Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!