Sultan Selangor dilantik semula sebagai Canselor UPM

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah - Foto Bernama
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dilantik semula sebagai Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) berkuat kuasa 1 April 2022 hingga 31 Mac 2029, demikian menurut kenyataan UPM.

Menurut kenyataan itu, Naib Canselor UPM Profesor Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman telah mempersembahkan Watikah Lantikan Semula oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada pertemuan bersama Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam baru-baru ini.

Sultan Sharafuddin yang dilantik sebagai canselor UPM sejak 2002 sehingga kini telah memberi banyak sumbangan bermakna kepada universiti itu khususnya dalam konteks menjuarai agenda pertanian, penyelidikan dan alumni.

Kenyataan itu memetik Mohd Roslan sebagai berkata, pelantikan semula Sultan Sharafuddin sebagai Canselor dapat memperkukuhkan UPM sebagai universiti unggul dan mencapai misi memberi sumbangan kepada kemakmuran dan pembangunan negara serta kesejahteraan manusia sejagat menerusi penerokaan dan penyebaran ilmu.

"Kebitaraan UPM dalam bidang pertanian juga amat dititikberatkan Tuanku Canselor agar universiti menakhoda pertanian dan menjadi Pusat Rujukan Pengembangan," menurut kenyataan itu di sini pada Rabu.

Sepanjang menjadi Canselor, Sultan Sharafuddin antaranya telah merasmikan Pusat Pendidikan Perhutanan Sultan Idris Shah UPM di Hutan Simpan Ayer Hitam Puchong, Selangor pada 2012 sebagai pusat rujukan pendidikan dan pengembangan amalan terbaik pengurusan hutan tropika di peringkat nasional mahupun global.

Pada 2014, Sultan Sharafuddin turut berkenan merasmikan UPM Kampus Bintulu, Sarawak selain menyokong Pelan Strategik UPM 2021-2025 yang dilancarkan pada Disember 2021.

Pada Istiadat Konvokesyen UPM ke-44 pada Januari lepas, baginda bertitah agar warga UPM termasuk graduan yang bakal menjadi alumni menyokong pelaksanaan pelan strategik itu kerana ia mampu memperkukuh UPM sebagai menara ilmu yang memacu kecemerlangan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!