[VIDEO] KL, Selangor, Johor catat kes gangguan seksual tertinggi

Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff
Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff
A
A
A

RANTAU PANJANG - [DIKEMAS KINI] Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KL), Selangor dan Johor menjadi antara negeri yang merekodkan gangguan seksual tertinggi di negara ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, hal ini kerana negeri berkenaan mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

"Berpandukan kepada situasi itu, kerajaan telah bersetuju meluluskan 2,000 perjawatan melalui Short-Term Employment Programme (MySTEP) kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam usaha menangani masalah ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan tilam dan katil kepada mangsa banjir di Kampung Bendang Perol di sini pada Rabu.

Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan meluluskan perjawatan itu secara berperingkat-peringkat.

Siti Zailah berkata, kerajaan mengambil serius masalah tersebut dan sentiasa berusaha mengatasinya dari semasa ke semasa.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Rantau Panjang itu menyarankan ibu bapa serta ahli keluarga untuk memainkan peranan penting dengan mengambil berat atau memberi perhatian kepada anak-anak dalam membendung kes seksual berkenaan.

"Begitu juga dengan jiran tetangga yang harus peka dengan keadaan sekeliling supaya dapat sama-sama membantu mengurangkan kes membabitkan seksual dalam kalangan masyarakat.

"Tidak cukup dengan itu, ilmu perlu diterapkan dalam diri setiap individu selain kawalan terhadap aktiviti di sosial media dalam kalangan anak muda bagi mengurangkan kes seksual berkenaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!