Forum Media Nasional sepakat dukung kebebasan media
SHAH ALAM - Forum Media Nasional sepakat mendukung kebebasan media seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia dalam konteks kebebasan bersuara.
Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan bersama oleh Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar; Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysia Press Institute, Datuk Dr Chamil Wariya dan ahli akademik bidang kewartawanan, Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican.
Menurut kenyataan itu, antara lain adalah menuntut kerajaan menilai semula atau menghapuskan mana-mana akta dan undang-undang yang berkaitan dengan media cetak dan media elektronik yang dianggap lapuk serta tidak sesuai dengan keperluan semasa.
“Selain itu, mendaya usahakan penubuhan sebuah Persatuan Wartawan Malaysia (PWM) yang menggabungkan semua para wartawan agar menjadi suara yang padu dan lantang, demi memperkukuh kesetiakawanan dan memadu matlamat yang sama, demi memberikan digniti dan perpaduan pada profesion kewartawanan; selain mewujudkan daftar wartawan untuk negara.
“Melatih semula modal insan kewartawanan dengan kemahiran-kemahiran baharu yang diperlukan oleh ekosistem media Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), Society 5.0 serta membuat pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin (ML) sesuai dengan tuntutan semasa serta masa depan.
“Menggesa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau swasta (IPTS) untuk bekerjasama dengan organisasi media bagi menilai semula kurikulum kewartawanan dan pengajian media bagi memenuhi keperluan ekosistem profesion serta industri kewartawanan semasa dan masa depan,” katanya dalam kenyataan itu.
Selain itu, Forum Media Nasional turut mendesak kerajaan mengenakan cukai ke atas hasil pendapatan yang diperoleh oleh syarikat-syarikat gergasi teknologi seperti Facebook, Google dan YouTube untuk disalurkan kepada organisasi media tempatan yang mana kandungannya digunakan tanpa dikenakan sebarang bayaran pada waktu ini.
Ujarnya, turut mengambil maklum bahawa dengan model perniagaan yang perlu berubah masa ini, maka syarikat media harus membuat penyesuaian sewajarnya dan kerajaan harus membantu mengurangkan beban syarikat media melalui pelupusan atau pengurangan cukai-cukai yang berkaitan seperti import kertas dan cukai pendapatan ke atas syarikat media.
“Memastikan bahawa peranan kewartawanan tidak pernah berubah berdasarkan etika dan prinsip kewartawanan yang sejati.
“Memastikan tanda aras kebenaran yang teruji bagi memerangi berita palsu yang semakin berleluasa khususnya dalam media sosial.
“Mengakui bahawa media arus perdana harus hidup seiring dengan media sosial, namun menyedari bahawa tuntutan ke atas kebenaran dalam konteks media arus perdana tidak boleh di kompromi,” ujarnya.
Forum bertemakan Kewartawanan dan Revolusi Industri Keempat: Cabaran dan Peluang itu akan menampilkan enam ahli panel yang merupakan tokoh media yang berpengalaman di negara ini.
Enam ahli panel itu terdiri daripada Johan; Ahmad Murad; Pengarang Kumpulan Media Mulia, Mohammad Azlan Jaafar; Pengarah Editorial Free Malaysia Today, Jasbant Singh Pratap Singh; mantan Ketua Pengarang atau Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran serta Wartawan Kanan Daily Express, Kota Kinabalu Sabah, Hayati Dzulkifli.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!