Pameran LIMA kembali Mei depan
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LlMA) akan dianjurkan pada 23 Mei hingga 27 Mei tahun depan di Pulau Langkawi, Kedah selepas penganjurannya pada 2021 terpaksa dibatalkan susulan penularan Covid-19.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, LIMA ‘23 diadakan susulan kejayaan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 pada Mac lepas serta kebersediaan Malaysia selepas memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik.
Beliau berkata, setakat ini sebanyak 600 pempamer dari 20 negara akan menyertai LIMA '23 selain dijangka menerima 45,000 pelawat perdagangan dan 380 tetamu luar negara.
Menurutnya, pameran LIMA ‘23 akan melibatkan aset udara dan aset maritim masing-masing 110 aset.
"Jumlah pempamer, negara yang terlibat, pelawat perdagangan dan awam, tetamu serta aset dijangka meningkat seterusnya menjadikan penyertaan terbesar pernah direkodkan,’’ katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Prapelancaran Pameran LIMA ‘23 di Auditorium Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.
Hishammuddin berkata, demi memastikan kelancaran LIMA '23, penganjurannya diselaraskan bersama oleh Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan manakala syarikat Alpine Integrated Solution Sdn Bhd dilantik sebagai penganjur bersama pameran yang diadakan dua tahun sekali itu.
Menjelas lanjut beliau berkata pameran LIMA ‘23 merupakan medan terbaik bagi syarikat-syarikat industri pertahanan seluruh dunia khususnya berkaitan aeroangkasa dan maritim untuk kembali bersemuka selepas lama tidak berpeluang melakukannya akibat COVID-19 dan penangguhan LIMA ‘21.
"Ini secara langsung dapat membuka lebih peluang dalam usaha menghubung dan mempromosikan kerjasama strategik antara syarikat industri pertahanan tempatan dengan antarabangsa selari dengan matlamat Dasar Industri Pertahanan Negara yang sedang dirangka ketika ini," katanya.
Hishammuddin berkata, beberapa pembaharuan bakal disaksikan di LIMA ‘23 antaranya pengenalan segmen pertunjukan dron dan perlumbaan dron, segmen teknologi angkasa, forum Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat penerbangan, program untuk remaja termasuk berkaitan pendidikan dan kerjaya, pertandingan permainan elektronik (e-sukan) serta segmen wanita dalam pertahanan.
"Ini tidak termasuk segmen keselamatan siber dalam industri penerbangan serta maritim dan semestinya pameran aset serta pertunjukan udara yang terbaik dalam sejarah.
"Saya bersama Wee (Ka Siong) akan memastikan setiap aspek persiapan diteliti dan diperincikan sebaik mungkin agar impaknya dapat dirasai semasa hari penganjuran sebenar nanti,’’ katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!