RISDA kenal pasti ladang untuk ternakan ayam organik
NILAI - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mengenal pasti ladang-ladang di Negeri Sembilan dan Pahang yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai kawasan ternakan ayam bagi projek pengeluaran 300,000 ayam daging organik sebulan.
Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif berkata, projek yang bakal dilaksanakan dengan kerjasama syarikat pengeluar ayam sedia ada itu adalah antara usaha membantu kerajaan berkaitan jaminan sekuriti makanan dalam negara.
Menurutnya, pengeluaran ayam daging organik berpotensi besar untuk dikembangkan bagi menstabilkan bekalan dan harga ayam di pasaran.
“Kita laksanakan ternakan lembu di semua ladang RISDA. RISDA ada ladang seluas lebih 100,000 ekar. Semua kawasan ladang ini ada bekalan air dan elektrik. Jadi tidak ada isu untuk kita ternak.
“Kita ada Pahang, Negeri Sembilan, Perak, Terengganu dan Kedah. Semua tempat ini sesuai. Tapi kalau ikut tanaman jagung, masa panasnya panjang jadi ada 6 hingga 7 bulan.
“Jadi mungkin kita akan buat kawasan utara sebagai kawasan pengeluaran makanan (ayam) manakala di sebelah Negeri Sembilan dan Pahang sebagai kawasan ternakan.
“Projek ini akan dimulakan pada tahun ini. RISDA kenal pasti beberapa tempat dan akan berbincang dengan kementerian agar kita diberi geran untuk permulaan projek ini,” katanya sempena Lawatan Kerja RISDA ke Projek Ternakan Ayam Organik Delima Emas Sdn Bhd (Delima Emas).
Lawatan kerja berkenaan dimulakan di Ladang Ayam Daging Delima Emas di Ijok, Selangor yang turut menjadi tempat pengeluaran makanan ayam.
Seterusnya, ke Pusat Pemprosesan Makanan Delima Emas di Nilai, Negeri Sembilan.
Kerjasama beri manfaat
Mengulas lanjut, Mohd Salim berkata, lawatan kerja berkenaan bagi melihat dengan lebih terperinci bagaimana proses penternakan ayam dan pengeluaran ayam organik tanpa penggunaan vaksin atau antibiotik untuk tumbesaran ayam.
“Syarikat Delima Emas juga mempunyai kekurangan ayam untuk diproses walaupun ada kapasiti besar, tetapi ada masalah yang perlu diatasi.
“Jika kita bergabung secara kerjasama ini, saya yakin dan percaya RISDA boleh belajar kerana anak syarikat kita, Livestock Sdn Berhad beroperasi untuk agro makanan.
“Kita bukan saja pasarkan ayam bulat tapi kerjasama melalui kajian yang dibuat oleh syarikat Delima Emas ini turut boleh dijadikan pengeluaran lain sebagai makanan yang digemari ramai seperti nugget, sosej dan daging burger,” katanya.
Mohd Salim berkata, kerjasama ini juga membolehkan RISDA melaksanakan ladang kontrak dengan pekebun kecil getah untuk penanaman jagung memandangkan keperluan jagung amat tinggi sebagai makanan ayam.
“Saya yakin RISDA mampu memperluaskan bahagian ternakan dan agro makanan untuk menambah beberapa program untuk kepentingan rakyat dan membantu pelan strategik menjelang 2025 pekebun kecil getah akan memperolehi pendapatan sekurang-kurangnya RM4,500 dengan pelbagai program di samping getah dan juga program akiviti ekonomi tambahan,” katanya.
Pada masa sama, beliau memberi jaminan RISDA akan berusaha mengeluarkan ayam organik yang setanding dengan harga ayam biasa untuk pilihan makanan lebih berkualiti kepada pengguna.
“Kita juga mahu kualiti makanan terjamin sebab kita tahu pembesaran ayam sedia ada perlu vaksin dan antibiotik, sudah pasti ada kesan kepada orang yang makan.
“RISDA juga memberi tumpuan kepada pengeluaran ayam organik kerana pasarannya terlalu luas kerana boleh eksport keluar negara sedangkan pengeluarannya tidak sampai 10 peratus daripada pasaran yang ada (dalam negara),” katanya.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid sebelum ini dilaporkan berkata, RISDA akan meluaskan peranannya untuk terlibat dalam agro makanan negara dengan merancang menternak ayam daging bagi membantu menampung bekalan makanan.
Selain lembu, ternakan ayam menjadi sasaran baharu agensi itu memandangkan terdapat isu kekurangan bekalan bagi keperluan tersebut, baru-baru ini.
Katanya, Risda dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) sedang berbincang berkolaborasi bagi terlibat dalam penternakan ayam yang akan melibatkan ladang-ladang dua agensi tersebut di seluruh negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!