Projek Hidro 2 Perak tarik pelaburan RM400 juta

Saarani (tengah) menyaksikan perjanjian pembangunan bagi inisiatif berasaskan kitaran air yang dimeterai Redza Rafiq (kiri) dengan Syaril (kanan).
Saarani (tengah) menyaksikan perjanjian pembangunan bagi inisiatif berasaskan kitaran air yang dimeterai Redza Rafiq (kiri) dengan Syaril (kanan).
A
A
A

IPOH - Perak bakal menarik pelaburan bernilai RM400 juta melalui pembangunan projek Mini Hidroelektrik (Hidro 2) yang dijangka beroperasi pada tahun 2027.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek usahasama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dengan Kangsar Hidro Sdn Bhd itu juga bakal mewujudkan perniagaan baharu dengan tawaran hingga 500 peluang pekerjaan dalam bidang dan kepakaran berkaitan.

Menurutnya, menerusi usahasama itu, Kangsar Hidro Sdn Bhd akan membangunkan Hidro 2 dalam tempoh 21 tahun dengan sasaran mencapai 21 peratus penjanaan tenaga boleh baharu dalam kapasiti terpasang menjelang tahun 2025 dan 40 peratus pada 2035.

"Projek ini bakal melibatkan enam lokasi sungai dalam usaha memenuhi kuota 59.77 megawatt (MW), kapasiti janaan yang diluluskan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA).

"Kerajaan negeri melihat usahasama ini sangat penting memandangkan tenaga boleh baharu bakal menjadi sumber terbesar di Malaysia menjelang 2040 selaras dengan penggalakan penggunaan tenaga yang mampan dan lestari di peringkat global," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Beliau sebelum itu menyaksikan perjanjian pembangunan bagi inisiatif berasaskan kitaran air yang dimeterai PKNPk diwakili Ketua Eksekutifnya, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kangsar Hidro Sdn Bhd, Syaril Ahmad Tajuddin.

Enam lokasi sungai yang terlibat adalah di daerah Hulu Perak, Larut Matang Selama, Hilir Perak, Kuala Kangsar, Batang Padang dan Muallim.

Saarani berkata, inisiatif yang dilaksanakan PKNPk itu adalah selari dengan agenda penting Kementerian Tenaga dan Sumber Asli yang dilihat memfokuskan kepada rancangan penjanaan tenaga baharu di peringkat nasional.

Katanya, usaha itu juga merupakan langkah proaktif kerajaan negeri untuk mempercepatkan peralihan kepada ekonomi hijau bagi menyokong agenda pembangunan mampan Perak.

"PKNPk akan berperanan secara aktif sebagai pemudah cara dalam menarik pelaburan sektor swasta dengan menjalin kerjasama strategik bersama pemain-pemain industri.

"Diharap pelaburan berasaskan teknologi hijau ini bukan sahaja memberi impak berganda kepada industri berkaitan tenaga, tetapi turut memberi pulangan hasil yang mampan kepada kerajaan negeri," katanya

Sementara itu, Redza Rafiq berkata, Kangsar Hidro Sdn Bhd dipilih atas pengalaman luas sebagai sebuah syarikat teknologi hijau tempatan bertaraf antarabangsa dalam mengkaji, merancang, membina dan mengendali operasi empangan hidro mini.

Katanya, syarikat yang mempunyai gabungan kakitangan berpengalaman lebih 40 tahun itu telah mengendalikan beberapa projek antaranya di Sungai Togogu dan Sungai Bengkoka di Kota Marudu Sabah serta Sungai Slim, Perak dengan jumlah janaan sebanyak 135.55MW.

"Pengendali yang dikenal pasti ini adalah yang bertauliah dan mempunyai sijil kelulusan galakan (FiAH) bagi projek mini hidro yang diperoleh daripada SEDA," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!