PTPTN, YPM perkasa pendidikan pelajar asnaf

A
A
A

KUALA LUMPUR - Masa depan pendidikan pelajar golongan asnaf di negara ini akan terus diperkasakan melalui Program Kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Yayasan Pelajaran Mara (YPM).

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, PTPTN sentiasa proaktif dan mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai pihak, sama ada agensi kerajaan mahupun swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengadakan program-program kerjasama tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk memastikan sumbangan diberikan adalah merangkumi pelbagai golongan sasar.

"Dengan sumbangan ini, saya optimis pelbagai program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar dan mencapai matlamat dihasratkan iaitu mengurangkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar sekali gus memastikan akses pendidikan sama rata untuk meningkatkan taraf hidup dan menjana kecemerlangan negara," katanya sempena Majlis Pengumuman Program Kerjasama PTPTN & YPM di sini pada Rabu.

Hadir sama Timbalan Pengarah Bahagian Pelaburan dan Pembangunan Subsidiari, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Hady Suhairy Baseri, dan Ketua Bahagian Pembangunan Dana YPM, Zainal Rashid Zakaria.

Pada majlis tersebut, PTPTN menyerahkan sumbangan zakat berjumlah RM150,000 bagi menggerakkan tiga program iaitu Program Pintar@KPLB-PTPTN berjumlah RM74,000; Skim Anak Angkat PTPTN (RM72,000) dan sumbangan Akan Simpan SSPN Prime (RM4,000).

Program Pintar@KPLB-PTPTN akan dilaksanakan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi dan MRSM Kuala Krai dengan mengadakan kelas bimbingan secara percuma serta pendedahan akademik yang memberi manfaat kepada 200 orang pelajar B40 pada tahun ini.

Bagi Program Skim Anak Angkat, PTPTN memberi sumbangan elaun persekolahan kepada 20 orang anak angkat terpilih berumur 13 tahun selama 3 tahun bermula persekolahan Tingkatan Satu sehingga Tingkatan Tiga.

Setiap anak angkat pula akan menerima elaun persekolahan sebanyak RM1,200 setiap tahun.

Selain itu, setiap anak angkat ini juga akan diberikan sumbangan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime secara one-off sebanyak RM200.

Dalam pada itu, Pengerusi YPM, Datuk Mohd Razman Yaacob optimis kerjasama tersebut mampu melahirkan pelajar berjaya dalam apa jua bidang.

"Bukan setakat berkebolehan dalam pelajaran tetapi juga bekerjaya hebat dan mempunyai kemahiran tinggi pada masa depan, sesuai dengan kemajuan dan pembangunan negara," katanya.

Sementara itu, dua penerima Program Skim Anak Angkat iaitu Wan Damia Ayumi Wan Ibrahim, 13, dan Muhammad Zaheer Norhasdi, 13, menzahirkan rasa syukur kerana terpilih menerima sumbangan menerusi program berkenaan.

Bagi Muhammad Zaheer, bantuan berkenaan memberi motivasi tambahan kepadanya untuk lebih gigih mengejar cita-cita menyambung pengajian di Jepun dalam bidang undang-undang.

"Saya gembira dengan bantuan yang diterima ini kerana sedikit sebanyak membantu untuk persekolahan saya. Terima kasih PTPTN," katanya.

Wan Damia juga senada menyifatkan bantuan tersebut dapat mengurangkan beban ibu bapa yang berpendapatan sederhana.

"Saya bersyukur dan gembira dengan bantuan ini dan akan belajar dengan lebih rajin kerana mahu menyambung pengajian dalam bidang agama Islam. Terima kasih PTPTN kerana membantu," katanya.

Bapa kepada Wan Damia, Wan Ibrahim Wan Mansor, 45, pula berkata, sumbangan tersebut menjadi titik tolak buatnya dalam menguruskan simpanan untuk masa depan pendidikan anak-anak dengan lebih baik.

"Saya sebagai ibu bapa akan berusaha menambah simpanan dalam akaun Simpan SSPN untuk masa depan anak selain memberi dorongan agar dia terus berjuang dalam pelajaran," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!