Sasar 50,000 pengunjung, RM500,000 nilai jualan di Penang FAMA FEST

Timbalan Ketua Pengarah FAMA, Datuk Muhamad Mustahapa Awang menunjukkan banting Penang FAMA Fest 2022 selepas mengadakan sidang akhbar di Pejabat FAMA, pada Rabu. - Foto Bernama
Timbalan Ketua Pengarah FAMA, Datuk Muhamad Mustahapa Awang menunjukkan banting Penang FAMA Fest 2022 selepas mengadakan sidang akhbar di Pejabat FAMA, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

BUTTERWORTH - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan 50,000 pengunjung dengan nilai jualan sebanyak RM500,000 di Penang Fruit, Flower and Food Fiesta (FAMA FEST) 2022 pada 22 hingga 26 Jun akan datang.

Timbalan Ketua Pengarah FAMA, Datuk Muhamad Mustahapa Awang berkata, antara komponen yang menjadi tarikan utama bagi program yang akan diadakan di Tapak Parkir Pasaraya Lotus’s Seberang Jaya ini adalah Laman Durian, Empayar Makanan Popular, Jualan Orkid dan Keladi Viral serta pelbagai aktiviti lain.

"Penang FAMA FEST 2022 adalah lanjutan kepada program Penang FAMA Fest yang diadakan pada tahun 2018 dan 2019. Program ini tidak dapat dilaksanakan pada tahun berikutnya susulan pandemik Covid-19 yang melanda negara dan dunia.

"Usaha pemulihan dan merancakkan semula ekonomi tempatan melalui penganjuran program seumpama ini amat dinanti-nantikan oleh para usahawan,” katanya dalam sidang media mengenai program tersebut di sini, pada Rabu.

Tambahnya, banyak aktiviti yang telah disusun bagi memberi faedah dan manfaat kepada rakyat seperti Jualan My Rakyat yang membawa hampir 100 jenama produk usahawan industri asas tani bagi mengetengahkan produk keluaran bumiputera dengan skop yang lebih luas.

FAMA juga membawakan 30 tan metrik bagi produk Jualan Terus Dari Ladang dan Kilang seperti buah-buahan dan sayur-sayuran antaranya buah durian, cempedak king, jagung, nanas MD2 dan lain-lain.

"Pengunjung boleh menikmati antara lima ke 10 peratus penjimatan bagi produk Jualan Terus Dari Ladang dan Kilang di FAMA FEST 2022 berbanding di pasar-pasar biasa,” katanya.

Untuk menikmati lebih penjimatan, beliau menggalakkan pengunjung mendapatkan baucar pembelian melalui platform Agrobazaar online iaitu RM20,000 baucar pembelian disediakan dalam talian.

Seramai 130 usahawan tani diberikan ruang untuk memasarkan hasil pertanian mereka pada program kali ini dengan 84 lot usahawan dan 11 kluster termasuk Empayar Makanan, Jualan Terus Dari Ladang, Bazaar MyRakyat, Penang Agromarket, Trak Makanan dan sebagainya.

Beliau berkata, pelaksanaan program ini akan meluaskan pasaran produk usahawan dari Wilayah Utara termasuk Perak serta membangunkan rangkaian ejen baharu dan peluasan produk industri asas tani wilayah utara ke rangkaian Pasaraya Lotus seluruh negara. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!