JAIS tidak halang Bon Odori diteruskan
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak menyekat atau menghalang mana-mana individu menghadiri program Bon Odori pada 16 Julai depan.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ketetapan itu diputuskan selepas pihaknya menghadap baginda di Istana Kayangan pada Rabu.
Menurutnya, baginda tidak berkenan apa-apa keputusan atau ketetapan dibuat secara tergesa-gesa tanpa kajian dan penelitian yang mendalam.
"Baginda berpendirian, banyak budaya mempunyai kaitan dengan agama tetapi tidak semestinya agama ada di dalam budaya.
"Baginda juga bertegas bahawa mengamalkan sesuatu perkara adalah berbeza dengan perbuatan melihat.
"Baginda juga tidak bimbang jika akidah umat Islam kuat dan benar, ia akan mengenepikan sebarang iktikad dan amalan yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Pada Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad mengingatkan umat Islam untuk tidak menyertai sebarang aktiviti keagamaan yang tidak mempunyai kaitan dengan Islam terutama Bon Odori yang mempunyai unsur-unsur keagamaan dan bertentangan dengan Islam.
Tambah Mohd Shahzihan, baginda menitahkan semua perkara diputuskan dengan adil dan saksama selari dengan kehidupan bermasyarakat serta kepercayaan yang pelbagai di Selangor.
"Justeru, baginda telah menitahkan pegawai JAIS dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk hadir ke majlis tersebut bagi melihat sendiri apa yang berlaku di dalam program tersebut.
"Baginda sendiri pernah hadir ke majlis tersebut beberapa tahun lalu dan tidak melihat sebarang perkara yang boleh merosakkan akidah umat Islam, melainkan ia satu program sosial pekerja-pekerja industri milik syarikat Jepun yang banyak di Selangor, " katanya.
Sementara itu, Menteri Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya penganjuran Bon Odori pada Julai depan diteruskan.
Beliau menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu turut menjunjung titah baginda yang tidak menghalang mana-mana individu untuk menghadiri acara tersebut.
Menurutnya, Sultan Sharafuddin turut bertitah tidak berkenan sebarang keputusan atau ketetapan tentang perkara berkenaan disimpulkan secara tergesa-gesa tanpa kajian mendalam.
"Menjunjung kasih Sultan Selangor agar penganjuran Bon Odori diteruskan dan tidak menghalang mana-mana individu untuk menghadirinya.
"Baginda turut bertitah tidak berkenan apa-apa keputusan atau ketetapan tentang perkara seumpama ini disimpulkan dengan tergesa-gesa tanpa kajian dan penelitian yang mendalam," katanya..
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!