Cuaca tidak menentu pengaruhi pendaratan, harga ikan

Pengarah Perikanan Negeri Sembilan Kasim Tawe (kanan) melepaskan ikan siakap ke kawasan pesisiran pantai Bagan Pinang sempena Program Pengukuhan Ketua Jaringan Perikanan (KJP) Melalui Pendekatan Ekosistem (EAFM) Bersama myKP Bagan Pinang di Pengkalan Nelayan Bagan Pinang, pada Rabu. - Foto Bernama
Pengarah Perikanan Negeri Sembilan Kasim Tawe (kanan) melepaskan ikan siakap ke kawasan pesisiran pantai Bagan Pinang sempena Program Pengukuhan Ketua Jaringan Perikanan (KJP) Melalui Pendekatan Ekosistem (EAFM) Bersama myKP Bagan Pinang di Pengkalan Nelayan Bagan Pinang, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PORT DICKSON - Cuaca tidak menentu mempengaruhi pendaratan ikan di negeri ini menyebabkan berlakunya pengurangan bekalan sumber protein itu, kata Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS) Kasim Tawe.

Beliau berkata, secara keseluruhan stok bekalan ikan masih stabil cuma perubahan cuaca di luar jangkaan memberi kesan kepada pengeluarannya dan menyebabkan kenaikan harga ikan di pasaran.

"Keadaan cuaca ketika ini menyebabkan nelayan kurang ke laut dan mungkin hari ini ikan kembung mengalami kenaikan harga disebabkan pendaratannya kurang. Perairan Port Dickson mempunyai lebih banyak ikan komersial seperti siakap serta jenahak dan ia masih mencukupi," katanya kepada pemberita selepas program Pengurusan Perikanan Melalui Pendekatan Ekosistem di sini, pada Rabu.

Mengikut rekod, Kasim berkata anggaran pendaratan ikan dari awal tahun hingga akhir April lepas adalah sebanyak 203 tan metrik.

Katanya, selain memperbanyakkan stok sumber ikan, pengurusan perikanan secara efektif dapat menjaga ekosistem pembiakannya bagi memastikan pendaratan ikan berterusan untuk keperluan rakyat di negeri ini.

Pada program hari ini 25 ekor ikan siakap seberat lima hingga enam kilogram dilepaskan semula ke perairan Port Dickson bagi memperkayakan sumber perikanan sedia ada.

"Ikan siakap itu berada di bawah peliharaan Pusat Ikan Hiasan Port Dickson sejak Februari tahun lepas. Ikan tersebut dijaga bermula dari saiz kecil sehingga membesar dengan baik menerusi penjagaan kualiti air yang baik serta pemberian makanan secukupnya sebelum dilepaskan,” katanya.

Beliau berkata antara faktor perairan di Port Dickson mempunyai banyak ikan bernilai tinggi seperti siakap dan ikan merah kerana terdapat terumbu karang yang sesuai untuk pembiakan ikan tersebut.

Katanya, selain itu, terdapat beberapa kawasan digazetkan sebagai kawasan larangan tangkapan ikan bagi memastikan ekosistem dan sumber perikanan di perairan tersebut dijaga dengan baik. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!