Kelantan FC pinjamkan Mior Dani ke Sri Pahang

Kelantan FC meminjamkan Mior Dani ke Sri Pahang FC sehingga hujung musim ini. - Foto TRW Kelantan FC
Kelantan FC meminjamkan Mior Dani ke Sri Pahang FC sehingga hujung musim ini. - Foto TRW Kelantan FC
A
A
A

KELANTAN FC meminjamkan pemain tengahnya, Mior Dani Armin kepada Sri Pahang FC sehingga hujung musim ini, kata pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman.

Beliau berkata, tindakan itu adalah untuk memberi peluang kepada pemain itu mengembangkan bakatnya serta mencari pengalaman beraksi dalam saingan yang lebih tinggi.

"Mior Dani akan dipinjamkan selama enam bulan sahaja dan beliau akan kembali menjalani latihan bersama pasukan Kelantan menjelang musim baharu tahun hadapan.

"Kehilangan Mior Dani hanya sementara sahaja, nanti beliau akan kembali memperkuat bahagian tengah pasukan pada musim hadapan, insya-ALLAH kita akan dapat pengganti beliau untuk mengemudi permainan agar kita dapat mencapai sasaran dan mengutip tiga mata penuh setiap perlawanan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Norizam berkata, peminjaman Mior Dani adalah atas persetujuan kedua-dua kelab dengan bayaran pampasan transfer loan fee kepada Kelantan, yang mana dapat menambah kantung kewangan kelab untuk mendapatkan pemain yang lebih berkualiti, pada jendela perpindahan kedua yang dibuka sekarang.

"Kita kena yakin dengan perancangan yang dilakukan pihak pengurusan kerana ini juga salah satu kebaikan yang positif buat kelab Kelantan kerana berjaya melahirkan beberapa pemain yang tidak dikenali sehingga menjadi bualan orang ramai,” katanya.

Norizam berharap penyokong The Red Warriors (TRW) yakin dengan pengurusan untuk memberi yang terbaik pada kelab itu, agar visi dan misinya pada musim saingan Liga Malaysia 2022 menjadi kenyataan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!