Salun tular operasi tanpa lesen

Pemeriksaan MBSJ bersama polis di premis itu pada Selasa.
Pemeriksaan MBSJ bersama polis di premis itu pada Selasa.
A
A
A

PUCHONG - Sebuah premis gunting rambut yang tular selepas didakwa menyediakan khidmat pendandan wanita berpakaian seksi di Bandar Puteri Puchong di sini didapati beroperasi tanpa lesen.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Azfarizal Abdul Rashid berkata, MBSJ telah menjalankan operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke premis tersebut pada Selasa.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati premis tersebut telah menjalankan aktiviti perniagaan tanpa mempunyai lesen yang sah daripada MBSJ.

"MBSJ telah mengeluarkan dua Notis Tawaran Kompaun (NTK) di bawah UUK 3: Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan (MPSJ) 2013 atas kesalahan mengendalikan Pusat Kecantikan dan Kesihatan tanpa Lesen.

"Kompaun kedua di bawah UUK 7: Undang- Undang Kecil Iklan (MPSJ) 2007 atas kesalahan mempamerkan iklan tanpa lesen," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya, pemantauan berkala akan terus dijalankan dari masa ke masa dan tindakan tegas akan diambil terhadap premis yang didapati melanggar peraturan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

"Sebarang aduan atau permasalahan boleh terus melaporkan melalui aplikasi aduan awam MBSJ atau Pusat Kawalan Subang Jaya di talian 03 8024 7700," katanya.

Pada Isnin, tular di media sosial gambar wanita berpakaian seksi sedang memotong rambut pelanggan di salun berkenaan.

Susulan itu, laporan polis telah dibuat oleh pihak salun yang mendakwa terdapat individu menyalahgunakan gambar model mereka semasa majlis pembukaan salun itu baru-baru ini.

Menurut laporan polis itu, gambar tersebut diambil bagi tujuan promosi (kedai gunting rambut) dan bukan untuk kedai urut seperti ditularkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!