K-KOMM sasar tingkatkan adaptasi karya ke layar perak

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin bergambar bersama barisan pelakon selepas merasmikan Majlis Pelancaran dan Sidang Media ‘Bangkitkan Aku Kembali’ yang diterbitkan produksi Simfoni Nusa Sdn. Bhd dan dijangka ditayangkan di stesen Astro First tahun ini. - Foto Bernama


Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin bergambar bersama barisan pelakon selepas merasmikan Majlis Pelancaran dan Sidang Media ‘Bangkitkan Aku Kembali’ yang diterbitkan produksi Simfoni Nusa Sdn. Bhd dan dijangka ditayangkan di stesen Astro First tahun ini. - Foto Bernama 

A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyasarkan untuk mempertingkatkan karya bermutu tinggi untuk diadaptasikan ke layar perak, sekali gus merancakkan industri perfileman tempatan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, pelbagai karya ‘Dari Buku ke Skrin' yang diadaptasi daripada novel ke skrin, semakin diterima Keluarga Malaysia pada masa kini.

Katanya pembikinan filem karya adaptasi itu bukan sahaja berpotensi menyemarakkan industri perfileman negara, tetapi juga membuka peluang bagi pengarahan dan penghasilan kandungan naratif novel ke platform digital.

"Stesen-stesen penyiar dan juga syarikat telekomunikasi perlu menjalinkan kerjasama dengan penulis novel, untuk menghasilkan lebih banyak karya yang berkualiti. Saya percaya ia akan meningkatkan rating saluran televisyen, elemen komersial dan mempergiatkan pendapatan penggiat industri kreatif.

"Book to Screen yang kini menjadi trend dalam industri kandungan kreatif perlu diperhebat. Kita perlu bangkitkan semula ekosistem kandungan kreatif, dalam mewujudkan peningkatan sosioekonomi buat pengkarya kandungan kreatif,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Supertelefilem 'Bangkitkan Aku Kembali' di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Zahidi berkata, kepelbagaian genre filem yang dihasilkan produksi tempatan berkonsepkan perpaduan, isu semasa, ekonomi dan ilmiah, perlu diangkat dan dipergiat bagi memperkayakan lagi industri filem negara sekali gus mampu mendidik masyarakat.

Dalam perkembangan lain, menyentuh mengenai isu royalti dan kebajikan artis baru-baru ini, Zahidi memaklumkan kementeriannya akan bertemu dengan penggiat industri untuk mencari solusi terbaik.

Zahidi berkata, beliau mempunyai beberapa kaedah serta cadangan bagi membantu penggiat seni tanah air menjana pendapatan, melalui beberapa pendekatan seperti pelaksanaan perniagaan francais dan saham, menerusi yayasan atau konsortium bagi menjamin masa hadapan mereka. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!