Bahrain laung amaran awal
SEPERTI dijangka, Bahrain tidak berdepan masalah meraih kemenangan dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2023 apabila mudah mengatasi Bangladesh 2-0 pada aksi sulung Kumpulan E di Stadium Nasional Bukit Jalil petang Rabu.
Turun selaku pasukan pilihan, Bahrain yang berada di kedudukan ke-89 dunia bagaimanapun terpaksa bekerja keras pada awal permainan, sebelum menarik nafas lega apabila jaringan Ali Abdula Haram dan Komail Hasan al-Aswad masing-masing pada babak pertama mengesahkan tiga mata pasukan.
Pada perlawanan dihadiri 826 penonton itu, Bahrain seawal minit ke-11 cuba meledakkan gol menerusi tandukan mengelirukan Amine Mohamad Benaddi, namun berjaya ditepis penjaga gol lawan, Anisur Rahman.
Rahman terus cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan Bahrain termasuk sepakan percuma Komail Hasan pada minit ke-23, sebelum gawangnya dibolosi Ali Abdula yang melompat tinggi untuk menanduk masuk sepakan penjuru pada minit ke-34.
Lapan minit kemudian Bahrain yang dipimpin Helio Sousa berjaya menggandakan kedudukan apabila Komail Hasan yang tidak dikawal dengan tenang melepaskan rembatan dari luar kotak penalti sekali gus meletakkan skuad ‘Dilmun’s Warriors’ itu selesa menamatkan separuh masa dengan mendahului kedudukan 2-0.
Bersambung babak kedua Bahrain memperlahankan rentak permainan dengan sesekali mengatur serangan mengancam kubu lawan namun gagal mencipta jaringan tambahan biarpun membawa masuk beberapa pemain gantian.
Intensiti perlawanan yang semakin perlahan itu digunakan Bangladesh bagi memberikan tekanan dalam usaha memburu gol, bagaimanapun skuad kendalian Javier Fernandez Penato terus buntu menembusi benteng pertahanan Bahrain yang ampuh mengekang setiap asakan.
Kejayaan menewaskan Bangladesh di ranking ke-188 dunia itu membolehkan Bahrain meraih motivasi terbaik menjelang aksi kedua menentang Malaysia Sabtu ini di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum menutup kempen Kumpulan E berdepan Turkmenistan pada 14 Jun di venue sama. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!