Harimau Malaya baham Turkmenistan

Safawi meraikan jaringan pertama Harimau Malaya pada perlawanan Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023, menentang Turkmenistan di Stadium Nasional, Bukit Jalil. Foto FAM
Safawi meraikan jaringan pertama Harimau Malaya pada perlawanan Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023, menentang Turkmenistan di Stadium Nasional, Bukit Jalil. Foto FAM
A
A
A

HARIMAU Malaya memulakan kempen Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 dengan langkah kanan apabila menewaskan Turkemnistan 3-1 dalam perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

Anak buah Kim Pan-gon yang mendapatkan sokongan padu pemain ke-12 tampil garang apabila mendominasi sebahagian besar permainan menentang skuad kendalian Yazguly Hojageldiyev.

Pengendali Korea Selatan itu, mempertaruhkan kesebelasan terbaik dengan meletakkan penyerang PJ City, Darren Lok sebagai penyerang solo sambil dibantu dua pemain sayap Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid dan Arif Aiman Hanapi.

Tuan rumah bermula garang apabila membuka tirai jaringan seawal minit ke-11 menerusi Safawi Rasid yang merembat masuk bola muntah hasil rembatan Arif Aiman untuk menewaskan penjaga gol Turkmenistan, Orazmuhammedov Mammet.

Selang beberapa minit kemudian, Malaysia menggandakan jaringan menerusi Faisal Halim yang memanfaatkan kesilapan pertahanan lawan untuk meletakkan tuan rumah selesa dengan kelebihan dua gol.

Bagaimanapun kelekaan Harimau Malaya untuk mencari gol tambahan dihukum apabila pemain Turkmenistan, Annadurdyyev Altymyrat bijak memanfaatkan kesilapan benteng pertahanan negara untuk merapatkan jurang kedudukan.

Ketika perlawanan seakan berakhir dengan keputusan 2-1 pada babak pertama perlawanan, benteng pertahanan negara, Corbin Ong tampil mencatat nama sebagai penjaring apabila menyumbat gol ketiga Harimau Malaya.

Bersambung babak kedua, Malaysia tidak memperlahankan tempo permainan sebaliknya terus menggandakan asakan ke kubu lawan untuk menambah jaringan..

Harimau Malaya berpeluang mendapat gol keempat melalui pemain gantian, Mohamadou Sumareh pada minit ke-75, namun berjaya digagalkan pertahanan Turkmenistan untuk keputusan 3-1 kekal hingga tamat perlawanan.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia kini mengungguli Kumpulan E dengan mengumpul tiga mata sambil diekori rapat Bahrain yang menewaskan Bangladesh 2-0 pada perlawanan sebelah petang.

Anak buah Kim-gon dijadualkan berdepan Bahrain di venue sama pada Sabtu sebelum melabuhkan kempen berdepan Bangladesh pada Selasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!