Kementerian lihat isu gaji permulaan siswazah dengan mendalam

Dr Maszlee Malik - Foto Bernama
Dr Maszlee Malik - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan akan bekerjasama dengan pelbagai pihak dan agensi untuk melihat isu gaji permulaan siswazah yang dilaporkan menurun dengan lebih mendalam untuk diselesaikan segera, kata Menterinya, Dr Maszlee Malik.

Dalam satu kenyataan hari ini, Maszlee berkata beliau mengambil maklum mengenai Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2018 yang dikeluarkan semalam serta laporan media mengenai "Gaji Siswazah Semakin Turun".

Menurut laporan media yang memetik Laporan Tahunan BNM itu, gaji permulaan bulanan benar bagi kebanyakan siswazah baharu di negara ini menurun sejak 2010 selepas mengambil kira faktor inflasi.

Siswazah baharu yang berkelulusan diploma mendapat gaji benar sebanyak RM1,376 pada 2018 berbanding RM1,458 pada 2010.

Sementara itu, gaji benar pemegang ijazah sarjana muda adalah RM1,983 pada 2018 berbanding RM1,993 pada 2010, manakala pemegang ijazah sarjana memperoleh gaji benar RM2,707, daripada gaji sebanyak RM2,923 pada 2010.

Mengambil maklum juga saranan Bank Negara Malaysia untuk mengurangkan ketidakpadanan yang jelas antara permintaan dan bekalan tenaga kerja, Maszlee berkata: "KPM (Kementerian Pendidikan) mengambil serius tentang isu kebolehpasaran graduan.”

Beliau berkata Kementerian Pendidikan sedang dalam fasa terakhir menyiapkan kajian dan pelan tindakan kebolehpasaran graduan dalam program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan semua program di Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang akan dibentangkan dalam masa terdekat. -Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!