Anjur bersama lebih baik, barakan semangat patriotik
PEMERHATI sukan tanah air, Dr Pekan Ramli menyambut baik cadangan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang mahu penganjuran temasya Sukan SEA 2027 turut diadakan di luar Kuala Lumpur.
Bagaimanapun Pekan berpendapat, idea penganjuran secara bersama dilihat lebih baik berbanding dilangsungkan hanya satu negeri sahaja seperti yang dilakukan sebelum ini.
Jelasnya, dengan cara tersebut ia dilihat bukan sahaja membantu kerajaan berkongsi kos penganjuran dengan negeri-negeri terpilih sebagai 'venue' untuk faedah bersama, malah ia juga secara tidak langsung mampu memeriahkan dan mencetuskan semangat patriotik penyokong negara pada temasya sukan berprestij di Asia Tenggara itu.
“Saya melihat ia satu perkembangan positif sekiranya temasya Sukan SEA 2027 ini diadakan di luar Kuala Lumpur. Mungkin kita boleh ajak beberapa buah negeri untuk menganjurkan temasya ini secara bersama sama seperti yang dilakukan Vietnam pada tahun 2003, apabila menamakan Ho Chi Minh dan Hanoi dan juga Sukan SEA Indonesia 2011 di Jakarta dan Palembang sebagai venue pertandingan.
“Apabila kita melakukan penganjuran Sukan SEA ini secara bersama, ia sedikit sebanyak bakal mengurangkan kos perbelanjaan kerajaan persekutuan bagi mengadakan temasya dwi tahunan ini hasil komitmen yang diberikan setiap negeri.
“Malah saya rasa ia juga akan membantu menjana ekonomi negeri itu dengan kehadiran pelancong asing ke tempat mereka.
“Pada masa yang sama, saya berasakan penganjuran bersama ini sudah tentu akan memeriahkan lagi temasya dwi tahunan itu dengan sokongan kuat diberikan penyokong tempatan kepada kontinjen kita,”katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Sebelum ini pada Selasa, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya terbuka dengan idea penganjuran secara bersama dengan negeri-negeri yang berminat pada Sukan SEA 2027 yang menyaksikan Malaysia dipilih sebagai tuan rumah.
Bagaimanapun Norza berkata, perkara itu masih tertakluk kepada perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang akan diadakan tidak lama lagi.
Dalam pada itu ketika ditanya berkenaan negeri yang mampu untuk menganjurkan Sukan SEA 2027 bersama Kuala Lumpur, beliau berpandangan Johor dan Perak merupakan antara negeri yang patut diberi peluang.
Bukan mahu menidakkan keupayaan negeri-negeri lain, Pekan memberitahu, Johor dan Perak dilihat mempunyai fasiliti sukan yang baik selain lokasinya yang tidak jauh daripada Kuala Lumpur.
“Saya lihat Johor dan Perak ada potensi untuk bersama Kuala Lumpur bagi menganjurkan Sukan SEA 2027. Ini kerana kedua-dua negeri mempunyai fasiliti sukan yang baik selain lokasinya dekat dengan Kuala Lumpur dan dapat mengurangkan pelbagai kos".
“Kalau kita buat jauh dari Kuala Lumpur seperti di Pantai Timur dan sebagainya mungkin kita akan berdepan masalah logistik. Sebab ada kontinjen yang tidak suka untuk 'travel' atau transit terlalu lama, kerana ia bakal memberi kesan kepada emosi dan persiapan mereka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!