'Tak sabar beraksi di Wimbledon' - Raducanu
JUARA Terbuka Amerika Syarikat (AS), Emma Raducanu berharap kembali cergas untuk bermain di Wimbledon selepas terpaksa menarik diri dari acara WTA 250 minggu depan di Birmingham selepas mengalami kecederaan sampingan.
Sebelum ini bintang tenis Britain berusia 19 tahun itu terpaksa menarik diri daripada perlawanan pembukaannya di Terbuka Nottingham berikutan kecederaan, memberitahu tidak sabar untuk mengharungi baki hayunan di padang rumput.
“Adalah mengecewakan untuk keluar minggu ini dengan kecederaan sampingan dan malangnya tidak lagi dapat bermain di Birmingham...
"Saya tidak sabar untuk kembali ke gelanggang perlawanan tidak lama lagi untuk menikmati baki musim di gelanggang rumput," kata Raducanu dalam satu kenyataan.
Menceritakan situasinya di Nottingham sebelum ini, Raducanu berkata, "Saya tidak tahu. Ia kejang kemudian menjadi teruk selama beberapa hari. Saya tidak boleh mendiagnosis diri... Saya rasa seolah-olah menarik sesuatu. Saya tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku, tapi kesannya di sebelah bahagian badan saya," kata Raducanu ketika ditanya sama ada dia akan cergas untuk Wimbledon.
Raducanu menarik diri semasa ketinggalan 4-3 pada set pertama menentang pemain Switzerland, Viktorija Golubic, hampir setengah jam perlawanan selepas dia mengalami apa yang kelihatan seperti ketegangan sampingan.
Untuk rekod, Raducanu mara ke peringkat 16 terakhir di Wimbledon pada 2021, memerlukan pemulihan segera untuk bersaing pada kejohanan tahun ini yang akan berlangsung dari 27 Jun hingga 10 Julai ini.
Nama Raducanu meniti dalam kalangan peminat dan pemerhati sukan itu pada September, 2021 apabila dia memenangi gelaran Terbuka AS dengan penampilan pemain berstatus kelayakan, menjadi juara Grand Slam wanita pertama Britain sejak Virginia Wade pada 1977.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!