Proton X70 atasi rekod jumlah penyerahan dalam segmen SUV
KENDERAAN utiliti sukan (SUV) pertama Proton, X70, telah mengatasi semua catatan terdahulu bagi jumlah penyerahan dalam segmen itu, sekali gus memperkukuh jenama automotif nasional sebagai antara peneraju dalam pasaran SUV Malaysia.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata ia telah menjual 8,500 unit Proton X70 hanya dalam tempoh 100 hari selepas SUV itu dilancarkan.
Selain itu Proton turut merekodkan kadar pertumbuhan jualan tertinggi dalam kalangan tiga jenama automotif utama di Malaysia, apabila mencapai 42 peratus bagi tempoh dua bulan pertama 2019.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata pemacu utama prestasi ini adalah Proton X70, yang menjadi model paling popular pada Januari dan Februari (berdasarkan angka pendaftaran rasmi) dan ia berada di landasan untuk mencapai pengiktirafan yang sama bagi bulan ketiga berturut-turut.
"Ini membuktikan pembeli kereta di Malaysia telah meminati SUV pertama kami, dan Proton akan terus menghargai sokongan mereka malah sentiasa berusaha menyiapkan lebih banyak unit secepat mungkin bagi mengurangkan tempoh menunggu,” katanya dalam kenyataan itu. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!