Tidak merasakan diri 'orang besar' ciri ahli politik terbaik
DAVOS, SWITZERLAND - Pemimpin yang mempunyai peribadi ringkas dan sering merasakan dirinya bukan 'orang besar' adalah merupakan contoh ahli politik terbaik yang diperlukan negara ini.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Syarikat QI, Datuk Seri Vijay Eswaran berkata, ahli politik terbaik dan bertanggungjawab juga sering menyedari keperluan rakyat senang bekerja bersamanya untuk membantu menjayakan matlamat ditetapkan.
Jelasnya, ramai pemimpin politik Malaysia yang berjaya mengharumkan nama negara ke seantero dunia secara asasnya memiliki sifat merendah diri yang luar biasa.
"Kalau kita lihat ahli politik kita yang telah membawa kita bersama dan menjadikan Malaysia satu kenyataan adalah secara mereka yang secara asasnya datang daripada latar belakang yang merendah diri.
"Hari ini ahli politik kita telah berubah ke tahap yang sangat rumit dan sofistikated," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu menghadiri Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2022, di sini.
Mengulas lanjut, Eswaran turut berpendapat seseorang ahli politik tidak wajar sering bermegah diri dan perlu menyedari diri mereka 'tiada apa-apa' tanpa menerima sokongan rakyat.
Malahan, beliau turut menekankan keperluan ahli politik bersifat jujur sebagai satu resipi berkesan dalam merealisasikan teras perjuangan politik berpaksikan kepentingan rakyat.
"Ahli politik kita (hari ini) mengikut falsafah yang berbeza, mereka rasa mereka tahu apa yang betul, namun apa yang betul dengan menjadi seseorang yang benar itu dua perkara yang berbeza.
"Sebenarnya kita semua menempuh hidup, membuat keputusan yang salah pada asasnya dan kemudian memperbaikinya sehingga dapat membuat keputusan yang betul. Ia satu proses,” ujarnya lagi.
Eswaran turut berharap semua ahli politik Malaysia mempunyai kesedaran untuk sentiasa berusaha memperbaiki kesilapan bagi memastikan negara dapat mencapai masa hadapan yang lebih baik.
"Begitulah sepatutnya menjadi pegangan seorang pemimpin mahupun rakyat Malaysia secara amnya, mereka tidak harus takut membuat kesilapan namun harus diperbaiki dalam memastikan kita dapat melangkah ke masa depan dengan lebih baik," tegasnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!