Pemuda Indonesia kayuh basikal untuk tunai haji
RIYADH - Seorang pemuda Indonesia sanggup mengayuh basikal dari negara asalnya untuk menuju ke Arab Saudi bagi menunaikan ibadat haji, lapor portal Gulf News pada Rabu.
Pemuda itu, Mohammed Fawzan menyatakan dia telah melakukan perjalanan selama kira-kira tujuh bulan setengah dengan matlamat untuk menunaikan ibadat haji pada bulan depan.
Lelaki itu menceritakan tentang liku-liku perjalanannya ke negara beraja tersebut kepada stesen televisyen Arab Saudi, Al Saudia.
Menurutnya, ketika dalam perjalanan, basikal yang ditunggangnya mengalami kerosakan dan dia turut berdepan dengan cuaca panas di beberapa buah negara.
Bagaimanapun, pada akhirnya, dia tiba di bandar pelabuhan Jeddah.
“Setiap negara mempunyai cuaca yang tersendiri. Negara-negara yang lain (negara yang dilaluinya dengan mengayuh basikal) agak panas,” kata Fawzan.
Pemuda itu turut mendedahkan bahawa dia pada mulanya berhasrat untuk pergi ke Arab Saudi dengan menggunakan motosikal.
Namun, dia berubah fikiran dengan membatalkan idea itu dan sebaliknya menggunakan basikal. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!