Israel serang Syria
DAMSYIK - SYRIA. Israel, semalam melancarkan serangan pertama menyasarkan lokasi di bandar Aleppo beberapa hari selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas Bukit Golan yang diduduki ketika Perang Enam Hari 1967.
Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) memaklumkan sasaran serangan udara itu adalah depot senjata digunakan tentera Iran dan sekurang-kurangnya tujuh dilaporkan turut terbunuh dalam kejadian tersebut.
"Sistem pertahanan udara berjaya menangkis serangan udara menyasarkan sejumlah lokasi di zon perindustrian Sheikh Najjar di timur laut Aleppo. Ia telah menembak jatuh sejumlah misil," lapor agensi berita SANA.
Sementara itu, penduduk Aleppo mendakwa insiden itu turut menyebabkan bekalan kuasa elektrik terputus di seluruh bandar, namun ia dipulihkan semula beberapa jam kemudian.
Sejak beberapa tahun lalu, Israel telah melancarkan ratusan serangan udara di Syria menyasarkan kedudukan Iran dan gerakan Hizbullah dengan matlamat untuk menghalang Teheran membina ketenteraan mereka di negara konflik. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!