Azreen Nabila taruh harapan beraksi di Sukma 2022

Azreen Nabila tetap berharap agar dapat mewakili Terengganu ke Sukma 2022 di Kuala Lumpur yang bermula 29 September hingga 8 Oktober depan.
Azreen Nabila tetap berharap agar dapat mewakili Terengganu ke Sukma 2022 di Kuala Lumpur yang bermula 29 September hingga 8 Oktober depan.
A
A
A

PELARI pecut negara, Azreen Nabila Alias tetap berharap agar dapat mewakili Terengganu ke Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Kuala Lumpur yang bermula 29 September hingga 8 Oktober depan.

Meskipun menyedari harapannya agak kelam susulan keputusan Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang tidak membenarkan penyertaannya, beliau tetap menaruh harapan untuk membuat penampilan terakhir di temasya sukan dwi tahunan itu.

"Secara jujurnya saya merasakan keputusan itu agak tidak adil memandangkan penyertaan saya di pentas Olimpik Tokyo tempoh hari adalah atas tiket 'wild card', bukannya secara merit.

"Walaupun belum rasmi, sepertinya tiada harapan buat saya dan ia pastinya menyedihkan kerana Sukma ini adalah yang terakhir buat saya untuk mewakili negeri tercinta," katanya kepada pemberita.

Menurut Azreen Nabila, beliau berharap masih ada proses rayuan yang membolehkannya bertanding sekurang-kurangnya dalam acara berpasukan seperti 4×100meter (m) pada kejohanan itu nanti.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri akan terus membuat rayuan kepada pihak terlibat untuk membenarkan atlet berusia 22 tahun itu beraksi di Sukma.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya telah mengemukakan permohonan rayuan kepada Kementerian Belia dan Sukan namun masih belum mendapat maklum balas yang positif.

"Kita akan bawa isu ini dalam mesyuarat jawatankuasa tertinggi pada hari ini kerana Azreen Nabila sememangnya berhak," katanya.

Azreen Nabila melakar prestasi cemerlang pada Sukma 2018 di Perak apabila memenangi tiga pingat emas dalam acara 100m, 200m dan acara berpasukan 4×100m yang melayakkan beliau dianugerahkan Olahragawati Sukma 2018. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!