ExxonMobil sumbang RM500,000 untuk pendidikan Terengganu
KUALA TERENGGANU - Syarikat pengeluar minyak mentah dan pembekal gas asli, ExxonMobil menyumbangkan RM500,000 untuk program kecemerlangan dan pendidikan di Terengganu pada tahun ini.
Naib Presiden dan Pengarah Kewangan ExxonMobil, Ernest Miller berkata, empat daripadanya adalah kerjasama dengan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT).
Menurutnya, ia termasuk Program Anugerah Pelajar Cemerlang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) ExxonMobil SPM 2019 dengan peruntukan sebanyak RM82,000.
“Kami juga memperuntukkan sebanyak RM63,000 bagi program ‘Terengganu-ExxonMobil Mathematics Innovation Challenge (TExMIC), Program English Xamp with ETA dengan sumbangan sebanyak RM85,000.
"Selain itu, Anugerah Hari Guru ExxonMobil sempena Sambutan Hari Guru peringkat Terengganu sebanyak RM55,000,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Pelajar Cemerlang STEM ExxonMobil 2018 dan sumbangan bagi program pendidikan 2019 di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, hari ini.
Majlis yang dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya dan Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin.
Ernest berkata, ExxonMobil juga menyumbang sebanyak RM65,000 untuk program ‘Spark Your Creativity Challenge’ bersama Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, selain sumbangan RM150,000 untuk program ‘UKM-ExxonMobil STEM Club @ Terengganu bersama Universiti Kebangsaan Malaysia dan JPNT.
“Sebagai sebuah syarikat pengeluar minyak mentah dan pembekal gas asli utama dunia dan Malaysia, ExxonMobil bergantung pada teknologi dan inovasi bagi memenuhi keperluan tenaga semasa.
“Justeru itu, kami amat prihatin terhadap pentingnya usaha pembangunan pendidikan STEM serta aktif menyumbang dalam aktiviti membentuk tenaga kerja mahir di masa hadapan dalam bidang ini,” katanya.
Menurutnya, kepentingan pendidikan Stem pada hari ini tidak terhad kepada usaha untuk melahirkan lebih ramai jurutera atau memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi seperti minyak dan gas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!