44 kenderaan pasang lampu strobe, beacon light dikenakan tindakan

Antara kenderaan perdagangan yang diberikan notis kesalahan kerana menggunakan lampu strobe light dan beacon light sepanjang operasi dilakukan.
Antara kenderaan perdagangan yang diberikan notis kesalahan kerana menggunakan lampu strobe light dan beacon light sepanjang operasi dilakukan.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 44 kenderaan telah dikenakan tindakan membabitkan kesalahan pemasangan lampu strobe light dan beacon light secara aksesori menerusi lapan hari operasi bermula 1 Jun di sekitar negeri ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, sebanyak 124 kenderaan telah diperiksa sepanjang Op Strobe dan Beacon Light.

Menurutnya, hasil operasi, sebanyak 44 buah kenderaan perdagangan dan persendirian telah diberi 74 notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1).

"Pemasangan kedua-dua lampu tersebut didakwa bertujuan bagi kegunaan peribadi dan trend pemasangan aksesori tambahan.

“Orang ramai terutama pengguna jalan raya tidak senang dengan isu penyalahgunaan strobe light dan beacon light bagi tujuan peribadi iaitu dengan menyalakan lampu berkenaan ketika jalan sesak bagi membolehkan kenderaan mereka mendapat ruang keistimewaan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, penggunaan lampu strobe light dan beacon light pada kenderaan persendirian ataupun perdagangan juga boleh memberikan amaran yang salah kepada pengguna jalan raya lain selain mengganggu penglihatan dan tumpuan seterusnya menimbulkan bahaya

Mengulas lanjut, Khairul Khar berkata, berdasarkan Kaedah 9, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 195, hanya kenderaan dalam tugas kecemasan seperti kenderaan ambulans, bomba, kastam, polis, penjara dan JPJ sahaja dibenarkan menggunakan lampu tersebut.

Tegasnya, kenderaan yang menggunakan lampu strobe light dan beacon light yang dipasang secara aksesori (retrofit) telah diambil tindakan saman di bawah Kaedah 94 Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Kegunaan) 1959.

“Tindakan kompaun boleh dikenakan dengan tidak melebihi RM250 atau boleh didakwa di mahkamah yang mana denda yang boleh dikenakan tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan di bawah Seksyen 119(1) Akta Pengngkutan Jalan 1987.

“Selain itu, kenderaan yang didapati memasang atau menggunakan lampu strobe light dan beacon light secara aksesori (retrofit) juga telah diambil tindakan dengan pengeluaran notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1)," ujarnya.

Jelasnya, pemilik kenderaan akan diberi masa 10 hari untuk hadir pemeriksaan di mana-mana JPJ berdekatan bagi memastikan kenderaan tersebut telah dibuat tindakan pembetulan dengan menukar semula kepada lampu asal.

Justeru, JPJ akan berterusan melaksanakan tindakan dan operasi bagi memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan serta undang- undang ditetapkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!