Wujudkan lebih banyak pusat pengumpulan hasil tangani isu orang tengah

 Kiandee ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pra-Pelancaran Maha 2022 di MAEPS pada Khamis. Foto Bernama
Kiandee ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pra-Pelancaran Maha 2022 di MAEPS pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

SERDANG - Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mewujudkan lebih banyak pusat pengumpulan hasil bagi sektor agromakanan negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, langkah itu dibuat bagi mengurangkan pengaruh orang tengah.

Ini kerana katanya, kenaikan harga barang yang kerap berlaku disebabkan tindakan orang tengah atau kartel yang memanipulasi harga bagi mengaut keuntungan berlebihan.

“Ketika ini kita mempunyai 162 pusat pengumpulan bagi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) (130) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) (300).

“Jadi, kita akan tambah lagi jumlahnya (pusat pengumpulan hasil). Kita juga menggalakkan perniagaan dalam talian agar pengeluar hasil terus kepada pengguna. Itu antara langkah

dibuat kerajaan untuk mengurang pengaruh orang tengah.

“Selain itu, banyak lagi usaha yang diambil kementerian bagi mengurangkan pengaruh orang tengah dalam sektor agromakanan yang menjadi isu sejak sekian lama ini,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pra-Pelancaran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia 2022 (MAHA 2022) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya apa tindakan atau langkah yang diambil kerajaan dalam menangani kartel orang tengah dalam sektor agromakanan negara.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, kerajaan sememangnya menyedari isu orang tengah yang berlaku ketika ini dan mengakui ia bukan perkara baharu.

“Kita tahu pengaruh orang tengah berlaku dalam semua sektor termasuk perikanan. Kita sedang meneliti sebabnya dan ia ada pelbagai bentuk hubungan yang dikatakan orang tengah dengan pengusaha.

“Bagi pihak kementerian kita main peranan untuk memberikan dana modal kepada pengusaha supaya mereka terutamanya pengusaha kecil tidak bergantung sumber kewangan daripada orang mahupun individu lain yang dikategorikan sebagai orang tengah,” katanya.

Ujarnya, tidak dinafikan usaha untuk membanteras pengaruh orang tengah yang berlanjutan sejak sekian lama itu memerlukan kerjasama berterusan daripada semua pihak.

“Ia akan lalui proses besar untuk halang terus kartel namun kita sudah ambil langkah sekian lama (dan) pelbagai tindakan diambil kementerian kurangkan perkara ini dalam sektor agromakanan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!