Tiga kilang baharu akan dibangunkan di Taman Teknologi Hijau

Wan Rosdy meninjau operasi kilang kertas Nextgreen Global Berhad yang beroperasi di GTP, Pekan sempena Majlis Pecah Tanah Kilang Fasa 1B, GTP di Kampung Paloh Hinai, di sini pada Khamis.
Wan Rosdy meninjau operasi kilang kertas Nextgreen Global Berhad yang beroperasi di GTP, Pekan sempena Majlis Pecah Tanah Kilang Fasa 1B, GTP di Kampung Paloh Hinai, di sini pada Khamis.
A
A
A

PEKAN - Tiga kilang baharu bakal dibangunkan di Taman Teknologi Hijau (GTP) di Paloh Hinai di sini dengan nilai pelaburan RM162 juta.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembangunan kilang tisu, kilang baja organik dan kilang makanan haiwan itu melibatkan Fasa 1B akan dibangunkan syarikat Nextgreen Global Berhad.

"Pembinaan kilang baja organik dijangka siap tahun ini manakala kilang tisu dan kilang makanan haiwan pada tahun hadapan," katanya.

Menurutnya, selain pembangunan melalui Fasa 1B ini, Nextgreen Global Berhad dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dalam peringkat akhir perbincangan usahasama bagi mengembangkan lagi pembangunan di GTP itu dengan penambahan keluasan kawasan dari 164 hektar kepada 1,200 hektar.

"Pada masa sama, syarikat tersebut turut menjalinkan kerjasama bersama Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dalam pengeluaran baja organik, makanan haiwan yang mesra alam dan pelaburan strategik.

"Kerajaan negeri menyambut baik usaha-usaha itu memandangkan sinergi antara swasta dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) sudah pasti akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri serta membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Kilang Fasa 1B, GTP di Kampung Paloh Hinai, di sini pada Khamis.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob,Pengarah Urusan Nextgreen Global Berhad, Datuk Lim Thiam Huat dan Pengarah Nextgreen Global Berhad,Datuk Mohd Yusof Din.

Simbolik pertukar dokumen perjanjian kerjasama antara Zamri (dua dari kanan) mewakili Nafas dan Thiam Huat (dua dari kiri) bagi pihak Nextgreen sempena Majlis Pecah Tanah Kilang Fasa 1B, GTP di Kampung Paloh Hinai, di sini pada Khamis.
Simbolik pertukar dokumen perjanjian kerjasama antara Zamri (dua dari kanan) mewakili Nafas dan Thiam Huat (dua dari kiri) bagi pihak Nextgreen sempena Majlis Pecah Tanah Kilang Fasa 1B, GTP di Kampung Paloh Hinai, di sini pada Khamis.

Wan Rosdy berkata, ketika ini seramai 250 pekerja dalam kalangan penduduk setempat bekerja di kilang kertas Nextgreen sedia ada yang beroperasi di GTP itu.

"Melalui pembangunan tiga lagi kilang akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan juga masyarakat orang asli.

"Pada masa sama, pembangunan di GTP ini juga akan merangsang kepada kemajuan kawasan sekitar dan kita tidak menolak kemungkinan Paloh Hinai mampu muncul sebagai sebuah bandar baharu pada masa depan," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Nextgreen Global Berhad, Datuk Mohd Yusof Din memberitahu, pembinaan ketiga-tiga kilang itu adalah sejajar dengan konsep pembangunan sifar sisa di GTP itu.

Menurutnya, ia juga menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi kitaran berdasarkan pengeluaran produk dan kitar semula sisa daripada kilang untuk dijadikan produk boleh dipasarkan semula seperti baja organik dan makanan haiwan.

"Inisiatif sisa sebagai sumber pendapatan di GTP ini sudah tentu berupaya mewujudkan ekosistem perusahaan mampan kepada negara terutama dalam memenuhi cabaran ekonomi yang dihadapi dunia ketika ini.

"Bagi memastikan idea untuk menjadikan GTP ini sebagai sebuah bandar baharu yang lestari serta menempatkan hab pengeluaran pulpa dan kertas terbesar di Asia Tenggara, pembangunan sumber manusia juga turut diberi perhatian," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!