MDSB pastikan operasi pusat penginapan ikut garis panduan

Azman bergambar bersama sebahagian yang hadir pada Program CSR Komuniti Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam di Asrama Kebajikan Anak Yatim di Kampung Sekendi pada Khamis.
Azman bergambar bersama sebahagian yang hadir pada Program CSR Komuniti Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam di Asrama Kebajikan Anak Yatim di Kampung Sekendi pada Khamis.
A
A
A

SABAK BERNAM - Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) sedang melakukan proses pemutihan di semua pusat penginapan di daerah ini bagi memastikan pengusaha mengikut garis panduan ditetapkan.

Yang Dipertuanya, Azman Dahlan berkata, pemutihan itu penting bagi memastikan penginapan yang disediakan dijalankan secara sah dan menjamin keselamatan pelancong.

Menurutnya, pengusaha perlu memastikan mereka mengikut segala garis panduan ditetapkan bagi meyakinkan pengunjung.

"Pemutihan ini dijalankan untuk kepentingan pengusaha kerana kita bukan sahaja menyasarkan pengunjung domestik, tetapi pelancong luar negara seperti Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei.

"Pelancong luar negara ini hendak melihat sawah padi dan (tanaman padi) paling berdekatan Kuala Lumpur, jadi sudah tentu di Sabak Bernam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Komuniti Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam di Asrama Kebajikan Anak Yatim di Kampung Sekendi pada Khamis.

Mengulas lanjut, Azman memberitahu dua aspek turut diberi perhatian terhadap pengusaha pusat penginapan membabitkan kelulusan bangunan dan lesen operasi.

Jelas beliau, pihaknya akan berbincang dan memudah cara berhubung perkara itu terutama membabitkan soal isu keselamatan yang melibatkan beberapa jabatan lain seperti bomba dan sebagainya

Katanya, Sabak Bernam disenaraikan sebagai tujuh daripada 10 pekan kecil yang menjadi tarikan pengunjung di negara ini manakala Taiping menjadi pilihan utama.

"Jadi satu perjumpaan dengan pengusaha penginapan akan diadakan sebelum hujung bulan ini.

"Kita jangka 30 pengusaha pusat penginapan hadir bagi mengadakan taklimat dan menerangkan garis panduan sebenar untuk beroperasi," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!