HWC Coffee buka dua kios baharu di Malaysia

Antara tetamu yang hadir pada majlis pembukaan kios HWC Coffee di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur pada Mei lalu.
Antara tetamu yang hadir pada majlis pembukaan kios HWC Coffee di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur pada Mei lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Jenama kopi dari Taiwan, HWC Coffee telah meluaskan pasarannya dengan membuka dua lagi kios baharu di pusat membeli-belah Sunway Putra Mall dan Sunway Velocity Mall pada Mei lalu sebagai usaha untuk mengukuhkan kedudukannya di Malaysia dan Asia Tenggara.

Sempena pembukaan cawangan terbaharu itu, Ketua Eksekutif Palaterium Sdn Bhd (Palaterium), Zenda Ng telah menandatangani perjanjian pelaburan dan usaha sama dengan Pengarah Urusan W Venture Partners, Wong Kim Guan untuk merasmikan perkongsian strategik yang akan dilaksanakan antara kedua-dua pihak tersebut.

Pengasas Subplace, Hoe Kian Choon; Perunding Pemasaran Subplace, Sam Mak; Ketua Pegawai Eksekutif Subplace, Mak Wai Hoong serta Ketua Pegawai Operasi Palaterium, Penny Chan dan Pengurus Pemasaran Palaterium, Edmund Lai juga hadir pada majlis menandatangani perjanjian itu.

Kim Guan berkata, peningkatan dalam pendapatan dan keinginan orang ramai yang kini mengejar keselesaan hidup telah menyebabkan lebih ramai yang mahu membelanjakan wang untuk menikmati kopi berkualiti tinggi.

“Dengan kejayaan yang telah HWC Coffee peroleh dalam tempoh masa yang singkat, ditambah dengan permintaan kopi ‘specialty’ yang semakin popular dalam kalangan pengguna, saya yakin usaha sama kami ini akan berjaya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, pada April lalu, HWC Coffee telah membuka kios kopi ‘specialty’ mereka di pusat membeli-belah One Utama, Selangor sekali gus menjadikan Malaysia sebagai lokasi kiosnya yang pertama di luar negara.

Menurutnya, selepas dua bulan memperluaskan perniagaan mereka ke luar negara, jenama kopi ‘specialty’ Taiwan HWC Coffee telah menandatangani perjanjian usahasama dengan pelabur Brunei untuk mewujudkan empayar kopi ‘specialty’ di Asia Tenggara.

“Ini membolehkannya HWC Coffee menembusi pasaran yang sangat kompetitif,” katanya.

Menurut Kim Guan, W Venture Partners, anak syarikat Seng Hoe Huat Group di Brunei, bersetuju untuk melabur RM3 juta bagi tujuan HWC Coffee meluaskan perniagaan mereka di dalam negara dan seterusnya memperkenalkan jenama itu di Brunei pada suku keempat tahun ini.

“Syarikat HWC Coffee, yang memiliki lebih 70 cawangan di Taiwan, telah menandatangani perjanjian usaha sama dengan Subplace pada tahun ini untuk mula mengembangkan perniagaannya di luar negara,” katanya.

Sementara itu, Zenda berkata, usaha sama dan pelaburan dari rakan niaga mereka di Brunei itu merupakan pencapaian yang besar bagi HWC Coffee dan mempercepatkan pelan pengembangan perniagaan mereka di Asia Tenggara.

“Dengan keadaan ekonomi yang kini sedang mula dibuka semula secara berperingkat, HWC Coffee akan mempercepatkan perluasan perniagaan kami di pasaran tempatan dan menyasarkan untuk terus membuka lebih banyak cawangan di negara-negara berhampiran menjelang akhir tahun ini.

“Kami juga mempunyai perancangan untuk menawarkan lebih banyak variasi makanan dan minuman pada masa akan datang,” kata Zenda.

Menurut Zenda lagi, dengan penggunaan teknologi dan inovasi, selain daripada bekerjasama dengan Subplace untuk mengaplikasikan model langganan, HWC Coffee juga sedang membangunkan saluran jualan dalam talian (online).

“Melangkah ke hadapan, HWC Coffee akan menyepadukan teknologi dan inovasi di kiosnya, yang melibatkan sistem pengambilan pesanan.

“HWC Coffee juga akan melancarkan dan menjual barangan jenama mereka sendiri, yang boleh dibeli dari kedai fizikal dan kedai online serta untuk dieksport ke negara lain. Ini bertujuan untuk meningkatkan lagi pendedahan jenama HWC Coffee di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata, HWC Coffee juga akan membuka dua lagi kios di Aeon Maluri dan Avenue K pada Jun ini.

Ia akan diikuti dengan pembukaan cawangannya di Subang SS15, Pavilion Bukit Jalil, Sunway Pyramid, Setia Prima, IOI City Mall, Pavilion Bukit Bintang yang telah dijadualkan antara bulan Ogos dan Oktober tahun ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!