17,586 usahawan wanita ikuti program wanita bangkit @ KPWKM

Rina (kiri) and Michael Newbill semasa sidang akhbar selepas melancarkan kohort ketiga program Akademi Usahawan Wanita di Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto Bernama
Rina (kiri) and Michael Newbill semasa sidang akhbar selepas melancarkan kohort ketiga program Akademi Usahawan Wanita di Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berjaya mengumpul seramai 17,586 usahawan wanita bagi mengikuti Program Keusahawanan Wanita Bangkit @ KPWKM sejak September tahun lalu.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, jumlah itu dilihat memberansangkan terutamanya selepas peralihan negara daripada fasa pandemik ke endemik.

"Ia sejajar dengan tumpuan KPWKM untuk memperkasakan semula ekonomi kumpulan sasar dan meningkatkan taraf hidup mereka khususnya golongan usahawan wanita,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan kohort ketiga program Akademi Usahawan Wanita (AWE) di sini pada Khamis.

AWE ialah program anjuran kerajaan Amerika Syarikat (AS) di bawah Inisiatif Pembangunan dan Kemakmuran Wanita Global.

Turut hadir pada program itu ialah Kuasa Usaha Kedutaan AS di Malaysia, Michael Newbill.

Mengulas lanjut mengenai program AWE, Rina berkata, secara keseluruhan lebih 180 usahawan wanita Malaysia dipilih untuk menyertai program AWE itu sejak dilancarkan pada 2020.

"Pada tahun ini seramai 70 usahawan wanita terpilih daripada 700 borang penyertaan diterima yang melibatkan pelbagai perniagaan termasuk produk makanan dan teknologi IT.

Kedutaan AS di Kuala Lumpur bekerjasama dengan Persatuan Jaringan Usahawan Wanita Bumiputra Malaysia (WENA) dalam melaksanakan AWE yang tertumpu kepada program latihan dalam talian, DreamBuilder, yang dibangunkan fakulti pengurusan global Arizona State University.

Program itu melengkapkan wanita dengan perkongsian yang diperlukan untuk menubuh dan mengembangkan perniagaan mereka sendiri, meningkatkan modal dan rangkaian secara berkesan dengan pemilik perniagaan lain yang berjaya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!