Sukma 2022 diawalkan dua minggu

Faizal Azumu
Faizal Azumu
A
A
A

PENGANJURAN temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 diawalkan dua minggu, iaitu bermula 16-24 September ini sempena sambutan Hari Malaysia, diikuti Para Sukma dari 1-6 November di sekitar Lembah Klang.

Ia berikutan penundaan Sukan Asia Hangzhou 2022 yang sebelum ini dijadualkan pada 10-25 September, yang memberikan ruang kepada pihak penganjur untuk menggunakan kemudahan universiti awam untuk penempatan atlet ketika cuti semester.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma pada Khamis juga, bersetuju dengan penganjuran sebanyak 31 jenis sukan dan 445 acara bagi edisi kali ini yang dianjurkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Beliau berkata, jawatankuasa itu juga memutuskan untuk mengurangkan penyertaan minimum kepada enam negeri berbanding lapan negeri (hanya untuk edisi 2022) bagi setiap acara, dengan tarikh pendaftaran dilanjutkan sehingga 30 Jun.

"Jangan harap (kemeriahan penganjuran) seperti bunga api dan konsert.

Saya berharap kemeriahannya (Sukma) kepada (prestasi) sukan itu, bukannya penganjuran.

Harap kemeriahannya datang dari penggiat sukan sendiri untuk beri sokongan kepada anak-anak yang bergiat aktif dalam bidang sukan.

"Dari segi had umur melebihi 23 tahun, kebenaran khas hanya untuk kali ini dengan mengambil kira atlet-atlet yang telah mengadakan persiapan sejak sekian lama untuk Sukma yang sepatutnya dianjurkan pada 2020 (sebelum dibatalkan kerana pandemik Covid-19),” katanya pada sidang media di Menara KBS, pada Khamis.

Ditanya mengenai venue, Ahmad Faizal berkata hampir kesemua venue sudah dikenal pasti, kecuali bagi sukan perayu layar yang akan dianjurkan sama ada di Langkawi atau Port Dickson kerana bertembung dengan acara lain.

Terdahulu, jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei bersama-sama atlet menembak Johnathan Wong, skuasy S. Sivasangari dan pelari pecut Azreen Nabila Alias melancarkan Detik 100 Hari Sukma XX, MSN 2022 di Menara KBS.

Majlis itu turut menyaksikan pelancaran logo Sukma dan Para Sukma 2022, serta maskot harimau bernama ‘Oyen’ dan lagu rasmi temasya ‘Demi Malaysia’.

Seramai 10,000 atlet dan pegawai dijangka menyertai temasya kali ini, yang pada asalnya dijadualkan bermula 29 September hingga 8 Oktober. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!