Negeri Sembilan sasar hijaukan dua KBT, banteras penyalahgunaan dadah

Aminuddin (empat kiri) ketika gimik pelancaran HADK 2022 Peringkat Negeri Sembilan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi pada Khamis.
Aminuddin (empat kiri) ketika gimik pelancaran HADK 2022 Peringkat Negeri Sembilan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi pada Khamis.
A
A
A

SEREMBAN- Kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan mukim Ampangan dan Rompin pada tahun ini sebagai tumpuan penghijauan Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) bagi membanteras masalah penyalahgunaan dadah dalam komuniti.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, usaha ini dapat dijayakan menerusi kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bersama beberapa pihak lain termasuk swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti bagi memastikan usaha penghijauan KBT dapat dicapai.

"Kita telah melaksanakan Projek Penghijauan Felda Sungai Kelamah, Tampin pada tahun 2019 dengan menyasarkan pencapaian pada tahun 2023.

"Alhamdulillah, berdasarkan kriteria Penghijauan Kawasan Peringkat Kebangsaan, Felda Sungai Kelamah dapat dihijaukan lebih awal iaitu pada bulan Mac lepas dan selepas ini kita akan tumpukan pula di kawasan mukim Ampangan, Seremban dan Rompin, Jempol secara berpusat dan berstrategi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan (HADK) 2022 Peringkat Negeri Sembilan di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, Aminuddin menyeru semua pihak agar membantu serta merujuk individu diketahui mempunyai masalah dalam penyalahgunaan dadah untuk tampil mendapatkan rawatan dan menjalani pemulihan secara sukarela.

"Kita turut berharap ada kesedaran dan sokongan dari masyarakat untuk sama-sama membantu klien ini agar mereka tidak kembali terjebak dalam dadah. Saya yakin ada potensi untuk mereka kembali pulih jika kita beri sokongan kepada mereka," katanya.

Sementara itu, Aminuddin menambah, AADK telah memperluaskan akses rawatan di luar premis melalui perkhidmatan Mobile Recovery Treatment (MRT).

"Besar harapan saya, kita dapat menguar-uarkan perkhidmatan MRT AADK, agar mereka yang memerlukan dapat akses Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!