MADA pantau penghantaran baja padi secara harian

Gambar hiasan. Gambar kecil: Ahmad Tarmizi
Gambar hiasan. Gambar kecil: Ahmad Tarmizi
A
A
A

ALOR SETAR - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) telah menghantar baja padi yang mengalami kelewatan sebelum ini bagi membantu melancarkan aktiviti penanaman padi Musim 1/2022.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, pemantauan penghantaran baja kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA akan dipantau oleh Bahagian Pembangunan Industri Padi dan Beras (IPB) dan MADA secara harian agar isu kelewatan baja dapat diselesaikan segera.

Menurutnya, Nafas akan membekalkan stok NPK sebatian dan baja urea sebelum 15 Jun manakala stok baja NPK tambahan pula sebelum 30 Jun ini.

"Nafas memaklumkan telah mengambil langkah meningkatkan kadar pengeluaran baja dengan keupayaan pemprosesan di kilang sebanyak 1,000 tan metrik sehari bagi membolehkan peladang mendapatkan bekalan baja untuk memenuhi keperluan mereka.

"Sehingga Khamis, status penerimaan baja di Kawasan Muda bagi baja sebatian adalah sebanyak 808,421 beg (74 peratus) manakala bagi baja urea sebanyak 247,700 beg (60 peratus) dan baja NPK tambahan pula sebanyak 171,532 beg (28 peratus)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah melantik Nafas sebagai pembekal bagi Program Skim Baja Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) untuk penanam-penanam padi di seluruh Malaysia.

Dianggarkan keperluan baja di Kawasan Muda adalah sebanyak 1,097,396 beg bagi baja NPK Sebatian, Baja Urea adalah sebanyak 410,910 beg dan dan baja NPK Tambahan adalah sebanyak 609,349 beg.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!