Wujudkan rangka kerja holistik buruh asing
RANGKA kerja yang holistik dan komprehensif bagi buruh asing perlu diwujudkan untuk menambah baik produktiviti buruh tempatan selain menyelesaikan masalah upah di negara ini, kata Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Marzunisham Omar.
Beliau berkata lambakan pekerja asing yang murah boleh membahayakan tahap produktiviti selain pertumbuhan.
"Selesaikan masalah buruh asing dengan upah rendah, itu yang diperlukan perniagaan...iaitu dasar yang jelas bagi perkara ini,” katanya.
Beliau berkata kerajaan juga perlu menggalakkan sektor swasta untuk menggunakan automasi dan mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing.
"Lakukan pembaharuan terhadap pasaran buruh dari segi undang-undang buruh dan peraturan,” katanya, sambil menambah interaksi bersama penggiat industri baru-baru ini juga membincangkan penyelesaian serupa," katanya.
Marzunisham membuat kenyataan itu dalam perbincangan panel mengenai ekonomi Malaysia hari ini yang dianjurkan oleh Persatuan Ekonomi Malaysia bersempena Laporan Tahunan BNM 2018 yang dikeluarkan semalam.
Terdahulu, Marzunisham berkata penawaran siswazah yang melebihi permintaan turut menyebabkan gaji permulaan yang rendah dan mengecilkan kelebihan pendidikan.
"Keadaan tidak sepatutnya begitu. Gaji permulaan bagi pemegang ijazah sarjana muda pada 2010 adalah RM1,993, namun ia telah berkurangan kepada RM1,983 pada 2018,” katanya.
Peningkatan jumlah siswazah turut mengatasi manfaat pekerjaan bagi pekerjaan berkemahiran tinggi dengan 174,000 siswazah dilaporkan menyertai pasaran kerja tetapi hanya 99,000 pekerjaan berkemahiran tinggi diwujudkan dalam tempoh 2010 sehingga 2017, katanya.
Seorang lagi ahli panel, Ketua Pakar Ekonomi Alliance Bank Malaysia Bhd Manokaran Mottain menyifatkan upah sebagai isu penting dan berdasarkan laporan bank pusat itu, gaji siswazah terbukti tidak mencatat sebarang kenaikan.
"Tumpukan kepada soal gaji dan lebih banyak pendekatan konkrit perlu diambil membabitkan pekerja asing. Soal upah seharusnya meningkat tetapi sebaliknya itu tidak berlaku kerana akses yang lebih mudah bagi mendapatkan tenaga buruh asing. Inilah yang perlu mereka (kerajaan) kawal,” katanya. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!