Jumlah pelancong asing dijangka cecah 5 juta menjelang hujung tahun

Jumlah ketibaan pelancong asing ke Malaysia dijangka mencecah lima juta menjelang akhir tahun ini.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
Jumlah ketibaan pelancong asing ke Malaysia dijangka mencecah lima juta menjelang akhir tahun ini.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah ketibaan pelancong asing ke Malaysia dijangka mencecah lima juta menjelang akhir tahun ini, menurut persatuan pengembaraan dan pelancongan terbesar negara.

Pelonggaran sekatan sejak 1 April dan lonjakan baharu dalam perjalanan antarabangsa meletakkan industri itu dalam kedudukan yang baik untuk pulih, Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Tan Kok Liang memberitahu Xinhua dalam satu temu bual menerusi telefon.

"Kami menerima kira-kira satu juta ketibaan sejak kerajaan menarik balik sekatan ketibaan pelancongan antarabangsa. Daripada jumlah itu, kira-kira 600,000 ketibaan adalah dari negara jiran Singapura.

"Bagaimanapun, kami optimis kerana negara-negara dari EU, Australia, Jepun, India dan negara-negara ASEAN lain telah memberikan maklum balas yang sangat positif kepada kami dan kami menjangkakan angka lima juta akan mudah dicapai,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peralihan Malaysia ke fasa endemik dan pembukaan semula sempadannya kepada pengembara antarabangsa mulai 1 April, sebahagiannya untuk mengurangkan tekanan terhadap ekonomi negara.

Keputusan itu dibuat berikutan kejayaan kempen imunisasi kebangsaan terhadap Covid-19 dan sebagai strategi keluar untuk membolehkan rakyat Malaysia kembali ke kehidupan yang hampir normal selepas dua tahun bergelut dengan Covid-19.

Kok Liang, bagaimanapun, berkata sektor pelancongan masih menghadapi cabaran, terutamanya kekurangan tenaga kerja berikutan gangguan selama dua tahun dan masalah lain dalam mendapatkan pekerja asing.

"Ia telah mendapat perhatian Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Nancy Shukri, yang bekerjasama dengan kami untuk membangkitkan isu ini dan mencari penyelesaian. Kekurangan pekerja amat membimbangkan kerana ia menjejaskan keupayaan hotel, restoran dan perniagaan intensif lain.

"Bagaimanapun kami yakin apabila keadaan semakin baik, kita akan menyaksikan normalisasi dan sektor itu akhirnya akan kembali seperti sebelum wabak, meskipun mengambil sedikit masa," katanya.

Menurut data Tourism Malaysia, sebuah agensi di bawah kementerian itu, Malaysia mencatatkan 26.1 juta ketibaan pada 2019, menyumbang RM$86.1 bilion (AS$19.59 bilion), menurun kepada 4.33 juta ketibaan pada 2020 apabila wabak itu bermula dan hanya 130,000 ketibaan pada 2021. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!