Tangan kanak-kanak tersangkut paip PVC ketika mandi kolam
ALOR GAJAH - Percutian sebuah keluarga di sebuah resort di Pengkalan Balak, Masjid Tanah di sini, bertukar cemas apabila tangan kanan seorang kanak-kanak perempuan tersangkut dalam soket paip PVC, pada petang Khamis.
Dalam kejadian jam 5 petang, kanak-kanak berusia 11 tahun itu dibawa ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah oleh ibu bapanya untuk mendapatkan bantuan.
Komander operasi, Pegawai Bomba Kanan (BPK) ll, Isharudin Ishak berkata, mangsa dan keluarganya datang dari Kuala Lumpur bercuti di resort itu.
Menurutnya, ketika kejadian, kanak-kanak itu sedang bermandi-manda bersama keluarga di sebuah kolam yang terdapat paip penyambung ke pam penyedutan air kolam.
"Maklumat daripada keluarga, mangsa dipercayai memasukkan tangan ke dalam paip sepanjang satu meter itu.
"Dalam masa sama paip tersebut berfungsi dan tangan mangsa tersedut sekali dalam paip itu sebelum pemilik resort memotong paip PVC dan mangsa dibawa ke balai bomba," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Isharudin berkata, anggota bomba mengambil masa kira-kira 34 minit untuk membantu mengeluarkan tangan mangsa menggunakan peralatan khas.
"Operasi tamat kira-kira jam 5.49 petang dan kanak-kanak itu hanya mengalami melecet di tangan kesan tersangkut di paip tersebut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!