PRU15: Ahmad Zahid dicabar kemuka undi tidak percaya kepada PM

Ahmad Zahid (kiri) dan Ismail Sabri (kanan).
Ahmad Zahid (kiri) dan Ismail Sabri (kanan).
A
A
A

SHAH ALAM – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu mengemukakan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat bagi mengesahkan keabsahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jika sekiranya mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Segambut, Mahathir Mohd Rais berkata, langkah itu dilihat lebih baik berbanding desakan dan cemuhan yang dibuat setiap kali pembangkang menyuarakan pandangan supaya pilihan raya tidak diadakan tahun ini.

MAHATHIR
MAHATHIR

“Kemuka undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, apakah beliau masih mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa pembangkang memberi pelbagai alasan untuk melengahkan PRU15 demi ‘membeli masa’ untuk mendapatkan ruang mencukupi membohongi rakyat sekali lagi.

Menurutnya, semua sedia maklum bahawa pilihan raya akan menelan kos berbilion ringgit.

“Di saat rakyat sedang dihimpit kesusahan nyata pada hari ini, Presiden UMNO seharusnya cakna dalam memastikan wang sebanyak itu digunakan untuk membantu rakyat dan bukannya berhabis berbilion ringgit untuk nafsu politik beberapa kerat manusia,” katanya

Jelasnya, langkah ‘demokratik’ yang Zahid cadangkan agar rakyat mendapatkan semula sebuah kerajaan yang kukuh bukanlah dengan mengadakan PRU15.

“Bukan isu ekonomi dan kos sara hidup yang tinggi sahaja yang perlu difikirkan kerana negara kira juga belum selesai berperang dengan wabak Covid-19.

“Saya menyeru agar Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak menjadi ‘badut’ kepada kepimpinan tertinggi parti masing-masing sebaliknya perlu fokus kepada isu untuk menyelesaikan masalah rakyat,” ujarnya.

Tambahnya lagi, rakyat menuntut wakil rakyat berwibawa dapat membela nasib mereka bukannya menjaga kepentingan pemimpin yang sedang bergelut dengan tuduhan dan salah guna kuasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!