Sukma 2022 platform buru tiket ke Kemboja

Ahmad Faizal menyampaikan sijil penyertaan kepada penerima ketika Majlis Pelancaran Detik 100 Hari Sukma MSN 2022 di Menara KBS, Putrajaya pada Khamis.
Ahmad Faizal menyampaikan sijil penyertaan kepada penerima ketika Majlis Pelancaran Detik 100 Hari Sukma MSN 2022 di Menara KBS, Putrajaya pada Khamis.
A
A
A

TEMASYA Sukan Malaysia (Sukma) 2022 yang dijadual berlangsung pada September depan dianggap peluang buat barisan atlet muda untuk menyerlahkan potensi masing-masing untuk terpilih mewakili Malaysia ke Sukan SEA Kemboja 2023.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, atlet muda akan terus diberikan peluang membawa cabaran negara selepas berjaya membuktikan keupayaan mereka pada Sukan SEA Hanoi 2021 baru-baru ini.

“Tentu sekali kerana kita sedar dalam kalangan atlet dahagakan pertandingan seperti kejohanan besar. Walaupun kita menyenaraikan atlet muda di Vietnam mereka tetap mampu memberi saingan sengit kepada lawan.

“Jika melihat keadaan sekarang dengan persediaan dalam tempoh 10 bulan (temasya Sukan SEA Kemboja) menyaksikan cukup penting kita melakukan persiapan rapi.

“Sebab itu Sukma kali ini cukup penting untuk mereka teruskan persediaan lebih besar. Kita sering sarankan kepada persatuan-persatuan sukan kebangsaan untuk menitik beratkan mengenai development atlet.

“Atlet muda diberikan peluang seluas-luasnya tetapi dalam masa sama atlet senior juga perlukan pertandingan untuk kekalkan prestasi masing-masing," katanya selepas Majlis Pelancaran Detik 100 Hari Sukma MSN 2022 di Menara KBS, Putrajaya pada Khamis.

Gimik majlis pelancaran berkenaan diserikan lagi dengan kehadiran bekas pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei; S Sivasangari (skuasy), Jonathan Wong (menembak), Azreen Nabila Alias (olahraga).

Penganjuran Sukma kali ini menyaksikan 31 jenis sukan membabitkan 445 acara dipertandingkan dengan disertai hampir 10,000 atlet dan pegawai manakala venue pertandingan di sekitar Lembah Klang.

“Temasya kali ini menyaksikan penyertaan atlet di bawah usia 23 tahun, iaitu kebenaran khas hanya untuk kali ini mengambil kira atlet sudah mengadakan persiapan sejak sekian lama untuk temasya Sukma yang sepatutnya dianjurkan pada 2020.

“Pada temasya kali ini juga menyaksikan minimum jumlah penyertaan untuk setiap acara adalah membabitkan enam negeri berbanding syarat sebelum ini adalah lapan negeri.

“Oleh sebab itu, saya sarankan persatuan sukan negeri utamakan pembangunan atlet sebagai persediaan menyertai kejohanan seumpama ini.

“Pada masa sama, tidak akan meminggirkan atlet senior kerana mereka juga memerlukan penyertaan ke kejohanan besar untuk mengekalkan prestasi," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!