Zii Jia, Anthony Ginting berentap suku akhir Masters Indonesia
JAGUH perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia menepati ramalan apabila mara ke suku akhir Kejuaraan Badminton Masters Indonesia di Stadium Istora Senayan, Jakarta.
Pemain di ranking kelima dunia itu mengambil masa 37 minit untuk menewaskan Mark Caljouw dari Belanda 21-17, 21-14.
Juara Seluruh England 2021 itu akan berdepan perseorangan utama tuan rumah Anthony Sinisuka Ginting yang menumpaskan pemain Thailand Sitthikom Thammasin 21-13, 21-14.
Sementara itu, beregu nombor satu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah bangkit dari ketinggalan pada set pertama untuk menundukkan Baek Ha Na-Lee Yu Lim dari Korea Selatan 21-23, 21-17, 21-15.
Mereka akan menentang gandingan Thailand Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai yang mengecewakan beregu Indonesia Anisanaya Kamila-Az Zahra Ditya Ramadhani, 21-6, 21-15.
Sementara itu, dalam saingan beregu campuran, pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon dan pasangan beregunya Cheah Yee See menarik diri daripada perlawanan, sekali gus memberi kemenangan kepada beregu Korea Selatan Seo Seung Jae-Chae Yujung.
Bagi acara beregu lelaki pula, pilihan keempat Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan rentak kemenangan apabila menewaskan pasangan beregu tuan rumah Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin menerusi straight set 27-25, 21-14.
Kemenangan tersebut membolehkan beregu negara itu mara ke suku akhir bertemu pasangan China Liang Wei Keng-Wang Chang pada hari ini (Jumaat).
[KEPUTUSAN]
(Nota: Malaysia kecuali dinyatakan)
BEREGU LELAKI:
Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rusmani mn Sabar Karyaman Gutama-Moh Rea Pahlevi (INA) 23-21, 17-21, 21-9
BEREGU WANITA:
Vivian Hoo-Lim Chiew Sien kk Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti (INA) 17-21, 19-21
BEREGU CAMPURAN:
Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei kk Tang Chun Man-Tse Ying Suet (HKG) 22-20, 5-21, 15-21
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!