Blatter bayar Platini RM4.49 juta sebagai janji mulut

Sepp Blatter (kiri) dan Michel Platini. - Foto AFP
Sepp Blatter (kiri) dan Michel Platini. - Foto AFP
A
A
A

BELLUMZONA - Bekas Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Sepp Blatter bersetuju untuk membayar bekas bintang bola sepak Perancis, Michel Platini satu juta franc Swiss (RM4.49 juta) setahun sebagai penasihat beliau, katanya di sebuah mahkamah pada Khamis.

Menurutnya, beliau mencapai persetujuan lisan atau janji mulut dengan Platini untuk membuat pembayaran itu ketika masih mengetuai badan bola sepak dunia itu.

Platini secara berseloroh meminta bayaran sebanyak satu juta tanpa menyatakan mata wangnya daripada Blatter.

Maklumat itu didedahkan bekas bintang bola sepak Perancis itu di Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland.

"Sepp (Blatter) memberitahu saya, sejuta apa?. Dan secara berseloroh, saya berkata, pesetas, lira, rubel, mark (mata wang asing). Anda (Blatter) tentukan," katanya.

"Dia (Blatter) berkata kepada saya, ok satu juta franc Swiss," tambah Platini di mahkamah tersebut sambil menambah bahawa beliau telah tewas kepada karisma bekas pentadbir bola sepak Switzerland itu.

Pihak pendakwaan menuduh Blatter telah menandatangani invois sebanyak dua juta franc Swiss (RM8.98 juta) daripada FIFA untuk dibayar kepada Platini sebagai penasihat Blatter.

Platini telah bekerja sebagai penasihat kepada Blatter antara tahun 1998 dan 2002 dengan beliau dan Blatter menandatangani kontrak pada tahun 1999 dengan imbuhan tahunan sebanyak 300,000 franc Swiss (RM1,347,029) setahun dibayar sepenuhnya oleh FIFA.

Perbicaraan akan berakhir pada 22 Jun ini dengan tiga hakim akan menyampaikan keputusan mereka pada 8 Julai depan. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!